Rafizi, Nik Nazmi Tak Rebut Kuasa Politik

LocalPolitics
21 May 2026 • 6:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Rafizi, Nik Nazmi Tak Rebut Kuasa Politik

KUALA LUMPUR - Parti Bersama Malaysia (MUP) memberi bayangan hala tuju baharu politik pembangkang negara dengan memberi tumpuan kepada agenda reformasi dan tadbir urus, berbanding perebutan kuasa dalaman serta persaingan jawatan.

Dua pemimpin utama parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, MUP mahu menjauhkan diri daripada budaya pertelingkahan politik yang sering dikaitkan dengan penubuhan parti baharu di negara ini.

Walaupun kini memegang peranan penting dalam parti berkenaan, kedua-dua pemimpin tersebut menegaskan, mereka tidak berminat untuk segera merebut jawatan seperti presiden atau timbalan presiden parti.

“Kami tidak berminat dengan jawatan-jawatan ini. Ramai yang masuk parti baharu terus berebut mahu jadi presiden atau timbalan presiden, tetapi kami tidak berfikir begitu,” kata Rafizi, seperti dilaporkan New Straits Times.

Parti yang didaftarkan pada 2016 itu kini sedang distruktur semula sebagai platform politik pelbagai kaum dan terbuka yang disifatkan Rafizi mampu menarik sokongan melangkaui kesetiaan tradisional parti politik.

Menurutnya, kepimpinan MUP akan mengekalkan susunan interim sehingga Pilihan Raya Umum akan datang bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dasar, persiapan pilihan raya dan usaha mendekati rakyat.

Rafizi dan Nik Nazmi dijangka mengetuai gerak kerja kempen parti di seluruh negara, namun kedua-duanya menegaskan kepimpinan pilihan raya tidak semestinya memerlukan penguasaan formal terhadap struktur parti.

Rafizi mengesahkan, beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan, manakala Nik Nazmi berhasrat mempertahankan Parlimen Setiawangsa pada pilihan raya akan datang.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut menolak dakwaan bahawa beliau atau Nik Nazmi mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri.

“Oleh sebab kami tidak dibebani cita-cita kuasa, kami boleh membuat keputusan dengan hati nurani yang lebih jelas dan enggan berkompromi dengan prinsip,” katanya.

Menurut Rafizi, landskap politik era media sosial kini lebih dipengaruhi kredibiliti, hala tuju dasar dan kepercayaan rakyat berbanding jawatan dalam parti semata-mata.

“Dalam era media sosial hari ini, pengundi lebih melihat calon berbanding jawatan parti.

“Jika orang mula berebut jawatan sebelum pilihan raya, ia tidak membawa banyak makna,” katanya.

Dalam pada itu, MUP turut memaklumkan, isu akauntabiliti institusi akan terus menjadi antara fokus utama parti, termasuk dakwaan melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkaitan isu pegangan saham berlebihan.

Katanya, isu berkenaan akan terus menjadi sebahagian penting agenda reformasi Bersama dan parti itu berhasrat memastikan kontroversi tersebut terus mendapat perhatian umum. - Getaran, 21 Mei 2026

View Original Article