
KLANG – Helah mengikrarkan barangan elektrik sebagai dulang buah untuk mengelak dikesan Kastam terbongkar selepas 30 kontena ditahan dalam Operasi Renjat 2026.
Pemeriksaan menemukan 29,797 unit barangan elektrik dan 3,831 unit dapur gas bernilai keseluruhan RM3.42 juta termasuk duti dan cukai.
Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, kejayaan itu hasil operasi dilaksanakan sejak 15 April hingga 15 Ogos lalu di Zon Bebas Pelabuhan Klang dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST).
Katanya, kesemua barangan itu termasuk periuk elektrik pelbagai guna, pemproses makanan, penyejuk udara sejatan, televisyen digital dan alat pelurus rambut dipercayai diimport tanpa Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST.
“Dua modus operandi dalam penyeludupan ini iaitu membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam tetapi gagal mengemukakan Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST.
“Selain itu, membuat pengikraran tidak benar sebagai dagangan dulang buah 30 sentimeter dan alat ganti aksesori,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapat dagangan itu berasal dari beberapa buah negara di Asia.
Tambahnya, kesemua barangan dipercayai untuk pasaran komersial tempatan.
“Ia amat berbahaya sekiranya terlepas kerana boleh memberikan kesan terhadap aspek keselamatan berikutan tidak mempunyai Perakuan ST dan Sijil atau label penandaan SIRIM.
Dalam pada itu, Noraidah memaklumkan pihaknya turut merampas 953,741.5 kilogram besi dan plastik skrap bernilai RM5.62 juta yang tidak mempunyai permit import antara 15 hingga 31 Julai lalu.
“Rampasan itu hasil pemeriksaan terhadap 38 buah kontena juga di Zon Bebas Pelabuhan Klang dengan kerjasama National Targeting Centre (NTC).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Rahsia 30 kontena ‘dulang buah’ terbongkar appeared first on Kosmo Online.


