
SHAH ALAM – Sebuah kuil haram di Klang rupa-rupanya menyimpan rahsia gelap apabila premis itu dikesan dijadikan stor penyimpanan dadah jenis heroin.
Kegiatan itu terbongkar menerusi lima serbuan polis dari 13 hingga 19 Oktober lalu yang berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebanyak 46 bungkusan plastik mengandungi heroin seberat 20.6 kilogram (kg) ditemukan di dalam stor kuil berkenaan.
Menurutnya, semakan mendapati tapak tanah itu merupakan milik kerajaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembentungan.
“Siasatan masih dijalankan, namun kami tidak menolak kemungkinan kuil tidak berdaftar itu dijadikan samaran bagi kegiatan sindiket pengedaran dadah.
“Premis itu dipercayai digunakan sebagai stor penyimpanan dadah sejak awal tahun ini,” katanya katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Shazeli berkata, seorang lelaki yang bekerja sambilan di kuil berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek menetap di situ dan membantu menguruskan kuil berkenaan dari semasa ke semasa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur gangsterisme di lokasi itu.
“Bagaimanapun, setakat ini, kes berkenaan membabitkan sindiket pengedaran dadah,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, empat serbuan lain dibuat adalah di masing-masing dua di Rawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Secara keseluruhannya keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 219.7 kg dadah dengan turut membabitkan bunga ganja, ganja, ketamin dan ekstasi yang bernilai RM16.2 juta.
“Hasil lima serbuan itu berjaya menangkap lapan suspek termasuk empat warga asing yang merupakan keldai dadah dari Eropah dan Asia Timur.
“Dadah dibawa keldai itu dikesan ketika transit di negara ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, hasil semakan mendapati hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai tujuh kesalahan rekod kesalahan lampau di negara ini
“Semakan dokumen perjalanan bagi suspek warga asing mendapati menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini. Semakan silang sedang dilakukan dengan Jabatan Imigresen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rahsia kuil haram simpan dadah terbongkar appeared first on Kosmo Online.






