
SHAH ALAM – Gara-gara disyaki mencuri barangan dan merosakkan harta benda majikan dipercayai menjadi punca seorang amah warga Indonesia dipercayai didera sehingga melecur di seluruh badan di Tanjong Sepat, Kuala Langat, minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati mangsa telah bekerja dengan majikan sekitar hujung tahun tahun lalu.
Katanya, antara suspek yang ditangkap dalam kes tersebut membabitkan pasangan suami isteri.
“Antara motif kejadian adalah kerana mangsa disyaki dituduh mencuri barangan majikan dan merosakkan barangan milik majikan. Itu dakwaan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa kini dilaporkan stabil dengan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga wanita antara lima individu yang direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga melecur di seluruh badan.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 20 hingga 30-an bermula Selasa lalu hingga hari ini dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok di sini.
Kes penderaan itu dilaporkan berlaku pada 16 Oktober lalu sebelum membawa kepada penahanan beberapa individu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, kesemua suspek ditahan di sebuah premis perniagaan di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren, Butterworth di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Amah melecur selepas didakwa curi barang, rosak harta appeared first on Kosmo Online.






