Raih 10A SPM: Hana anak kuat, pernah diuji sakit jantung berlubang - Sanusi

LocalFamily & Parenting
1 Apr 2026 • 7:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sanusi bersama Nur Hana semasa mengambil keputusan SPM di Maktab Mahmud Padang Terap pada Selasa.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan perjalanan hidup anak keempatnya, Nur Hana pernah diuji dengan penyakit jantung berlubang sejak kecil.

Namun di sebalik ujian tersebut, anaknya berjaya bangkit meraih keputusan positif dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan meraih 10A dan 1B+.

Menurutnya, Nur Hana disahkan menghidap Atrial Septal Defect (ASD) dan Ventricular Septal Defect (VSD) seawal usia empat bulan, sekali gus menjadikan zaman kanak-kanaknya berbeza berbanding rakan seusia.

“Hana anak yang berani. Sejak kecil lagi dia perlu melalui kehidupan yang agak terbatas, tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain dan hanya melakukan aktiviti ringan,” katanya.

Sanusi berkata, keadaan kesihatan anaknya itu menyebabkan Nur Hana pernah ketinggalan dalam pelajaran ketika di sekolah rendah, namun tetap menunjukkan semangat luar biasa untuk terus belajar.

Menurutnya, pada usia lapan tahun, satu prosedur pemasangan implan yang dicadangkan doktor tidak berjaya, sekali gus menjadi detik sukar buat mereka sekeluarga.

“Sebagai seorang ayah, saya memang kecewa ketika itu, tetapi saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT agar dia diberikan kesembuhan,” ujarnya.

Tambahnya, Nur Hana kemudian menjalani pemeriksaan berkala setiap empat bulan sebelum satu keputusan besar dibuat apabila anaknya itu bersetuju menjalani pembedahan jantung terbuka.

Katanya, pada April 2021 ketika berusia 12 tahun, Nur Hana menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang yang akhirnya berjaya dengan bantuan pasukan perubatan kardiologi diketuai Datuk Dr Abu Yamin Khamis.

“Sejak itu, kehidupan Hana berubah. Dia kembali sihat dan lebih bersemangat untuk meneruskan persekolahan,” ujar beliau.

Sanusi berkata, Nur Hana kemudiannya menyambung pengajian di Maktab Mahmud Padang Terap dari Tingkatan Satu hingga Lima dan menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam akademik.

Dalam pada itu, beliau mengakui kesibukan tugas sebagai Menteri Besar membataskan masa bersama anak-anak.

Katanya, beliau sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak melalui nasihat dan doa.

“Hana faham tugas saya dan dia sentiasa berdikari. Dia juga ada cita-cita besar untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya.