Raih jualan RM2 bilion 1H, penganalisis yakin Sime Darby property capai sasaran jualan RM3.6 bilion pada FY25

22/08/2025 - 11:55
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Sime Darby Property Bhd berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan RM3.6 bilion pada akhir tahun ini selepas berjaya mencatatkan jualan hartanah RM2 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) atau 55% daripada sasaran jualan keseluruhan, menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sehingga 10 Ogos lalu, kumpulan itu juga mempunyai tempahan jualan bernilai RM1.6 bilion.
Firma penyelidikan itu menyukai Sime Darby Property kerana pendedahannya yang kukuh dalam segmen hartanah bertanah dan perindustrian serta potensi pendapatan berulang.
"Kumpulan itu juga telah menyiapkan dua gudang dengan keluasan 1.8 juta kaki persegi di E-Metro Logistics & Industrial Park di Klang dengan Metrohub 1 telah disewa sepenuhnya dan Metrohub 2 mencapai kadar penghunian 88%. Tiga lagi kemudahan sedang dibangunkan dan dijangka siap bermula pertengahan 2026.
"Pusat beli-belah KLGCC (seluas 240,000 kaki persegi) juga dijadualkan dibuka pada Oktober 2025, dengan kadar penghunian yang telah dipastikan setakat ini sebanyak 85%," katanya dalam satu nota kajian.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, kumpulan itu merancang pelancaran projek bernilai RM4 bilion bagi tahun FY25 dengan tumpuan kepada segmen kediaman di seluruh kawasan perbandarannya.
Difahamkan, Sime Darby Property telah melancarkan produk bernilai RM2.2 bilion dari segi Nilai Pembangunan Kasar (GDV) pada 1HFY25 dengan produk kediaman bertanah merupakan penyumbang terbesar, merangkumi 39% daripada jumlah pelancaran, diikuti oleh kediaman bertingkat tinggi (25%), perindustrian (20%) dan komersial (16%).
"Sementara itu, segmen pengurusan aset & pelaburan (IAM) mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 34.3% tahun ke tahun kepada RM78 juta dalam 1HFY25, dipacu prestasi positif dalam sub-segmen runcit, disokong oleh pembukaan Elmina Lakeside Mall pada Ogos 2024.
"KL East Mall juga mencatatkan peningkatan hasil sewaan dan pendapatan tempat letak kereta. Prestasi segmen ini turut disokong oleh sumbangan sewaan tambahan daripada aset perindustrian susulan penyempurnaan pengambilalihan gudang di Bandar Bukit Raja pada Mac 2025," katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, kumpulan itu akan mencatatkan prestasi yang mampan bagi FY25 disokong kepelbagaian produk yang merangkumi segmen kediaman, komersial dan perindustrian.
Katanya, penyempurnaan projek ECRL yang dijadual siap menjelang akhir 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada bahagian perindustrian kumpulan, memandangkan kumpulan memiliki bank tanah yang besar berhampiran stesen Klang — satu pembangunan yang berpotensi meningkatkan jualan tanah industri serta hasil sewaan daripada aset pelaburan hartanah industri.
"Pendapatan berulang dijangka terus berkembang, disokong pembukaan KLGCC Mall tidak lama lagi dengan peningkatan kadar penghunian aset dana pembangunan industrinya, serta lonjakan ketara mulai FY27 apabila Fasa 1 penyewaan pusat data kepada Google bermula.
"Secara keseluruhan, kumpulan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menjana pertumbuhan pendapatan yang mampan, berasaskan strategi seimbang antara jualan berpandukan pembangunan dan peningkatan berterusan dalam pendapatan hartanah pelaburan," katanya. - DagangNews.com
standard

