Matrix Concepts diramal lancar projek hartanah baharu RM1.77 bilion pada FY26 - penganalisis

22/08/2025 - 10:07
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Bagi meluaskan kehadiran dalam pasaran perumahan dan perindustrian, Matrix Concepts Holdings Berhad diramal melancarkan projek hartanah baharu bernilai RM1.77 bilion pada FY26, kata penganalisis.
RHB Research berkata, langkah agresif itu dijangka menjadi pemacu utama kepada sasaran jualan tahunan syarikat sebanyak RM1.6 bilion, selepas mencatatkan jualan RM1.38 bilion pada FY25.
Katanya, setakat suku pertama FY26 (1QFY26), kumpulan itu berjaya merekodkan jualan hartanah sebanyak RM381.5 juta, menunjukkan permulaan yang kukuh kepada tahun kewangan semasa.
Firma penyelidikan itu berkata, pelancaran pada 1QFY26 sahaja mencecah RM650.9 juta, termasuk pelancaran besar bernilai RM628 juta daripada lot perindustrian di Malaysia Vision Valley (MVV) City.
Projek-projek lain yang menyumbang kepada jualan termasuk projek di Sendayan (RM174.4 juta), Levia Residences (RM49.8 juta), dan Bandar Seri Impian (RM15 juta).
"Syarikat juga melaporkan penjualan lot perindustrian di MVV City mencatat kadar pengambilan sebanyak 51%, dengan sumbangan jualan sebanyak RM143 juta dalam 1QFY26.
"Baki tempahan sebanyak RM140 juta dijangka ditukar kepada jualan kontrak dalam tempoh dua suku akan datang, dengan bil pengebilan dijangka bermula pada penghujung FY26 apabila kerja-kerja tanah siap sepenuhnya," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, MBSB Research berkata, prospek jualan baharu dijangka turut disokong sebahagiannya oleh Horizon L&L yang mempunyai projek pembangunan hartanah di Banting dan Sepang susulan daripada penyempurnaan pengambilalihan Horizon L&L.
Katanya, Matrix Concepts menyasarkan peningkatan sumbangan pendapatan daripada projek di luar Negeri Sembilan sebanyak 30%.
"Kami kekal positif terhadap Matrix Concepts memandangkan pembangunan MVV City akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pendapatan, di mana pengiktirafan hasil pertama daripada MVV City dijangka akan bermula pada FY26.
"Selain itu, kami melihat prospek jualan yang kukuh untuk Matrix Concepts disebabkan oleh permintaan yang berdaya tahan terhadap projek perumahan bertanah di Negeri Sembilan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.65 sesaham manakala RHB Research memberikan TP RM1.72. - DagangNews.com
standard


