MR DIY di landasan tepat capai sasaran pembukaan 190 cawangan baharu pada FY25 - HLIB

20/08/2025 - 14:54
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Ogos - MR DIY Group (M) Berhad berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pembukaan 190 cawangan baharu bagi tahun kewangan 2025 (FY25), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, kumpulan itu merekodkan penambahan sejumlah 70 cawangan sehingga ini dan momentum pengembangan itu dijangka terus meningkat pada suku tahun akan datang selaras dengan strategi pengembangan agresif syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, pembukaan lebih banyak cawangan baharu dilihat akan menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang MR DIY, disokong permintaan pengguna serta peningkatan jejak runcit yang semakin luas di seluruh Malaysia.
"Format kedai khusus seperti MR TOY 2.0 — yang mencatatkan peningkatan jualan dua kali ganda selepas proses penambahbaikan — turut menunjukkan sambutan positif daripada pelanggan, sekali gus meningkatkan perbelanjaan setiap pengunjung," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, pengembangan pesat itu hadir selepas prestasi kewangan kukuh pada separuh pertama FY25 (1HFY25), dengan keuntungan bersih meningkat 11% tahun ke tahun kepada RM333.5 juta.
Katanya, bagi 2QFY25 sahaja, kumpulan itu mencatatkan untung bersih berjumlah RM159 juta, iaitu sekitar 54% daripada unjuran tahun penuh.
Firma penyelidikan itu berkata, inisiatif seperti Kempen Ekologi RM2 turut dijangka merancakkan kehadiran pelanggan ke kedai dan mengukuhkan daya tarikan jenama dalam segmen pasaran mampu milik.
"Dengan kadar tukaran wang asing asing yang menguntungkan serta kecekapan perolehan yang berterusan, MR DIY kekal sebagai kaunter yang menarik.
"Komitmen kumpulan terhadap pembayaran dividen yang tinggi — seperti yang dibuktikan dengan pengisytiharan dividen interim sebanyak 1.5 sen dan kadar bayaran semula 90% — mengukuhkan lagi reputasinya sebagai syarikat yang mesra pelabur dan berasaskan tunai kukuh," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.30 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
