Raja Muda mahu SAY Aspire diperluas, bantu lebih ramai usahawan tembusi pasaran global

LocalStartup
3 Sep 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Raja Muda mahu SAY Aspire diperluas, bantu lebih ramai usahawan tembusi pasaran global

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berharap Program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire terus diperluas bagi membantu lebih ramai usahawan belia di negeri ini mengembangkan perniagaan ke pasaran global.

Baginda bertitah, program yang dilaksanakan sejak 2017 itu berupaya meningkatkan daya saing usahawan tempatan selain membuka peluang untuk produk dan jenama mereka menembusi pasaran antarabangsa.

“Beta amat menghargai kesungguhan dan keberanian para finalis membentangkan idea, model perniagaan serta potensi masing-masing untuk membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Tahniah kepada para pemenang atas kejayaan dan pencapaian yang membanggakan. Syabas juga diucapkan kepada semua finalis yang telah memberikan saingan terbaik dan menunjukkan semangat keusahawanan yang luar biasa,” titah Baginda menerusi Facebook rasmi Raja Muda Selangor (RMS).

Semalam, Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada RHJ Tijarah Sdn Bhd yang muncul juara SAY Aspire edisi ketujuh pada majlis di Hotel Sunway Resort.

Image from: Raja Muda mahu SAY Aspire diperluas, bantu lebih ramai usahawan tembusi pasaran global
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan trofi dan cek cura kepada pemenang tempat pertama pembentangan ketika SAY ASPIRE Edisi ke-7 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 2 September 2026. Turut sama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Baginda yang juga Ketua Juri turut berkenan menyampaikan hadiah kepada Hokido Shop Enterprise yang menduduki tempat kedua, diikuti Dataverse Sdn Bhd (ketiga), Nutrivera Manufacturing Sdn Bhd (keempat) dan Go Advanced Sdn Bhd (kelima).

SAY Aspire merupakan program pembangunan usahawan belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global menerusi kursus bimbingan serta latihan berkaitan strategi eksport.

Dianjurkan sejak 2017, program itu terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor dengan pengarah berusia antara 18 hingga 40 tahun, selain tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved