Tukar daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ – Steven Sim

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 3:10 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan menggalakkan usahawan tempatan mengubah pendekatan daripada hanya menghasilkan produk di Malaysia kepada membangunkan produk yang direka, dihasilkan dan dimiliki oleh rakyat tempatan, sekali gus memperkukuh daya saing jenama negara.

Image from: Tukar daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ – Steven Sim

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata peralihan daripada konsep ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ penting supaya produk tempatan tidak lagi bergantung kepada persaingan dari segi harga semata-mata.

Menurutnya, pengukuhan jenama Malaysia perlu berteraskan nilai, keyakinan pengguna dan inovasi agar produk tempatan mampu berkembang ke pasaran yang lebih luas.

“Tiga perkara utama ialah jenama Malaysia harus mencerminkan nilai dan bukan harga semata-mata, memberikan keyakinan kepada pengguna dari segi keselamatan, kesihatan dan kebersihan serta mempunyai daya inovasi yang lebih rancak.
“Kita harus beransur-ansur beralih kepada model Made by Malaysia, iaitu produk yang direka, dicipta dan dibuat oleh orang Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program BrandQuest 2026 dan Majlis Apresiasi National Mark of Malaysian Brand (NMMB), hari ini.

Sim berkata, perubahan tersebut semakin penting dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu selain persaingan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan produk tempatan, beliau berkata kementerian menyediakan peruntukan RM230,000 bagi membantu kira-kira 40 syarikat tempatan memperoleh pensijilan ‘Malaysian Brand’ atau NMMB.

Langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan dan daya saing produk tempatan supaya mampu menembusi pasaran global.

Image from: Tukar daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ – Steven Sim

“Sudah tentu kita akan melihat peruntukan ini dari semasa ke semasa dan jika ada keperluan kita akan tingkatkan jumlahnya untuk membantu sektor ini,” jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang kukuh untuk melahirkan jenama bertaraf dunia apabila 100 jenama Malaysia terbesar pada 2025 merekodkan nilai keseluruhan hampir AS$60 bilion berdasarkan laporan Brand Finance.

NMMB pula merupakan inisiatif pensijilan penjenamaan yang mengiktiraf produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memenuhi nilai Kualiti, Kecemerlangan dan Keunggulan.

Artikel lain: Steven Sim sangkal dakwaan PH di ambang kejatuhan, tekad pertahan Pulau Pinang

Program yang dijalankan menerusi kerjasama SME Corp Malaysia dan SIRIM QAS International Sdn Bhd itu bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi lambang kepercayaan serta kredibiliti yang boleh membantu produk tempatan membuka lebih banyak peluang di pasaran dalam dan luar negara.

Sumber: Berita Harian (Noor Atiqah Sulaiman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved