
PETALING JAYA – Keadaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat semakin sihat mencuri perhatian ramai selepas menerima kunjungan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi perkongsian di akaun Threads rasmi Dr. Mahathir, beberapa keping gambar memaparkan pertemuan kedua-dua tokoh berkenaan turut dimuat naik.
“Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis, berkenan mencemar duli menziarahi Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam,” menurut hantaran itu.
Perkongsian berkenaan mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata melahirkan rasa syukur melihat keadaan Dr. Mahathir selain mendoakan kesihatannya.
“Alhamdulillah Tun nampak makin sihat. Tun duduklah lama-lama di IJN itu, ada ramai staf IJN boleh jaga Tun,” komen @zaharumlatip.
“Jarang-jarang tengok Tun pakai pink. Tapi wajah Tun dah nampak tak sugul macam hari itu. Alhamdulillah,” komen @mimisaleh1_.
Dalam pada itu, @azraisjamalproperty menyifatkan kunjungan Raja Perlis itu sebagai sesuatu yang menggembirakan Dr. Mahathir.
“Alhamdulillah Tun M semakin sihat. Ramai menziarahi Tun M tak kira apa lapisan sekali pun. Terima kasih Tuanku, buat Tun M gembira. Ramai yang sayangi Tun M. Semoga Tun M panjang umur. Kami masih perlukan pandangan Tun M untuk negara,” katanya.– KOSMO! ONLINE
The post Raja Perlis ziarah Tun M di IJN, ramai lega lihat semakin sihat appeared first on Kosmo Online.






