Rakaman tular upacara keagamaan kuil di masjid video lama

25 Jul 2026 • 2:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rakaman tular upacara keagamaan kuil di masjid video lama

MELAKA – Polis mengesahkan video memaparkan upacara keagamaan di Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Jalan Tukang Emas di sini yang tular di media sosial hari ini adalah rakaman lama yang dirakam pada 26 April lalu sebelum ditularkan semula.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, video tersebut dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘Naz Kdas’ dan disertakan kapsyen yang mempersoalkan penganjuran upacara keagamaan berhampiran sebuah masjid sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Menurutnya, hasil semakan mendapati video berkenaan ditularkan semula pada hari ini, iaitu kira-kira tiga bulan selepas upacara keagamaan tersebut berlangsung.

“Semakan polis mendapati Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi yang dibina pada tahun 1781 terletak bersebelahan Masjid Kampung Kling di Jalan Tukang Emas.

“Kedua-dua rumah ibadat itu telah lama wujud secara harmoni dan sehingga kini tiada sebarang insiden yang menjejaskan keharmonian atau ketenteraman awam dilaporkan berkaitan penganjuran aktiviti keagamaan di lokasi berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pihak kuil telah memperoleh kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan selepas melalui proses penelitian dan tapisan sewajarnya bagi menganjurkan upacara tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Rakaman tular upacara keagamaan kuil di masjid video lama appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved