Rakan beli tilapia milik Akmal Saleh RM100 seekor, infak kepada penduduk Merlimau

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 11:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakan beli tilapia milik Akmal Saleh RM100 seekor, infak kepada penduduk Merlimau
Tangkap layar perbualan WhatsApp Dr Muhamad Akmal dengan individu yang sudi membeli ikan tilapia ternakannya sebelum memintanya infak kepada rakyat Merlimau. Foto Facebook Akmal Saleh

SHAH ALAM - Keprihatinan rakan-rakan membeli ikan tilapia milik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, kemudian meminta penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu infak kepada golongan memerlukan di kawasannya mengundang perhatian ramai.

Dr Muhamad Akmal berkata, tiada kata-kata mampu diucapkan selain ucapan terima kasih.

Beliau mengakui terharu atas kesudian rakan, kenalan dan orang awam membantunya mengumpul wang bagi membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.

"Tidak mampu saya ucapkan satu persatu, hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada diri ini.

"Terima kasih sekali lagi," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dr Muhamad Akmal turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan dengan kenalannya yang ingin membantu dengan membeli ikan tilapia pada harga RM100 seekor.

Bagaimanapun, individu berkenaan meminta supaya ikan yang dibeli itu diinfakkan kepada rakyat Merlimau.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Dr Muhamad Akmal menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM300,000.

Dr Muhamad Akmal turut menghargai cadangan orang ramai untuk membuka tabung sumbangan bagi membantunya, namun memilih untuk mengusahakan penjualan aset miliknya terlebih dahulu.

Pada Isnin lalu, beliau diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada 2024.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved