Rakan kongsi LNG Canada termasuk PETRONAS setuju projek pembesaran, bakal jadi loji gas asli cecair terbesar dunia

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rakan kongsi LNG Canada termasuk PETRONAS setuju projek pembesaran, bakal jadi loji gas asli cecair terbesar dunia Image from: Rakan kongsi LNG Canada termasuk PETRONAS setuju projek pembesaran, bakal jadi loji gas asli cecair terbesar dunia hamden29/09/2026 - 17:48 Kemudahan LNG Canada di Kitimat, British Columbia, Kanada. - Gambar/ PETRONAS

KUALA LUMPUR 29 Sept - Kapasiti pengeluaran LNG Canada, projek gas asli cecair (LNG) berskala besar yang disokong PETRONAS akan ditingkatkan 28 juta tan setahun selepas semua rakan usaha sama bersetuju dengan pelan perluasan loji berkenaan.

 

Dalam kenyataan hari ini, rakan usaha sama projek LNG Canada telah memuktamadkan keputusan pelaburan akhir bagi peluasan Fasa 2 yang melibatkan penambahan dua unit pemprosesan atau tren di kemudahan sedia ada LNG Canada.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LNG Canada, Chris Cooper berkata, projek berkenaan kini berada di landasan untuk menjadi antara kemudahan pemprosesan gas asli cecair terbesar di dunia susulan keputusan pelaburan akhir itu.

 

Keputusan pelaburan akhir dalam industri minyak dan gas lazimnya mengambil masa bertahun-tahun selepas kajian dan perancangan menyeluruh, sebelum pemilik projek meluluskan belanjawan bagi membolehkan kontraktor mendapatkan bahan serta peralatan dan memulakan kerja.

 

Kos peluasan tidak didedahkan, namun sebelum ini akhbar Kanada The Globe and Mail melaporkan projek itu mungkin menelan kos C$30 bilion (RM86 bilion).

 

Peluasan Fasa 2 turut merangkumi tambahan tangki penyimpanan LNG, tangki kondensat, dermaga pemuatan serta peluasan sistem utiliti dan pemprosesan. Kapasiti saluran paip sedia ada sepanjang 670 kilometer juga akan diperluas dengan penambahan lima stesen pemampat, lapor The Edge.

 

Shell memegang kepentingan terbesar dalam LNG Canada sebanyak 40%, diikuti PETRONAS dengan 25%, manakala PetroChina Co Ltd dan Mitsubishi Corp masing-masing memegang 15% dan Korea Gas Corp sebanyak 5%.

 

Projek itu bertujuan membekalkan LNG ke Asia bagi memenuhi peningkatan permintaan di rantau berkenaan dan akan terus beroperasi menerusi struktur pengambilan mengikut pegangan ekuiti, dengan setiap lima rakan usaha sama bertanggungjawab mengambil bahagian LNG yang dihasilkan berdasarkan pegangan masing-masing.

 

Fasa 1 LNG Canada mula menghantar LNG pada 30 Jun 2025, manakala Shell menjangkakan operasi komersial Fasa 2 bermula pada awal 2030-an.

 

Ketua Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Adif Zulkifli berkata, keputusan pelaburan akhir bagi Fasa 2 merupakan langkah penting dalam aspirasi bersama untuk membekalkan LNG yang boleh dipercayai dan dihasilkan secara bertanggungjawab kepada pasaran dunia.

 

Bagi Mitsubishi, antara manfaat projek itu ialah jarak penghantaran lebih pendek ke pasaran LNG utama Asia seperti Jepun. 

 

Penghantaran LNG dari Kanada ke Asia juga bergerak terus merentasi Lautan Pasifik terbuka tanpa melalui titik sempit maritim utama seperti Terusan Panama, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan ketika konflik geopolitik di Timur Tengah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved