hamden29/09/2026 - 12:48 Kapal Puteri Sejinjang membawa muatan gas cecair asli daripada loji LNG Kanada. - Gambar/ PETRONAS KUALA LUMPUR 29 Sept - LNG Canada, projek gas asli cecair (LNG) berskala besar yang disokong Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), dilaporkan bakal mengalami pembesaran kapasiti membabitkan pelaburan sehingga RM86 bilion, menurut laporan media.
Menurut laporan The Globe and Mail yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu, rakan kongsi projek berkenaan dijangka mengumumkan persetujuan terhadap peluasan tersebut.
Laporan itu menyebut rancangan berkenaan akan menggandakan kapasiti loji daripada tahap semasa kepada sebanyak 30 juta tan LNG setahun, lapor The Edge.
Bagaimanapun, jurucakap LNG Canada, Paul Hagel enggan mengulas kepada The Globe sama ada rakan kongsi projek akan mengumumkan keputusan pelaburan akhir bagi peluasan itu pada Selasa.
“Rakan kongsi usaha sama kami masih menjalankan proses penilaian masing-masing bagi kemungkinan akan ada keputusan untuk fasa kedua,” katanya seperti dipetik.
Shell merupakan pemegang saham terbesar LNG Canada dengan kepentingan 40%, diikuti PETRONAS sebanyak 25%.
PetroChina Co Ltd dan Mitsubishi Corp masing-masing memegang 15%, manakala Korea Gas Corp memiliki baki 5% dalam projek berkenaan.
LNG Canada bertujuan membekalkan gas asli yang disejukkan pada suhu sangat rendah dalam bentuk LNG ke pasaran Asia bagi memenuhi permintaan rantau itu yang semakin meningkat.
Sementara itu, PETRONAS pada tahun lalu bersetuju dengan kemasukan syarikat pelaburan MidOcean Energy ke dalam dua entiti projek utamanya di Kanada.
Urus niaga tersebut membolehkan MidOcean memperoleh pegangan 20% dalam North Montney Upstream Joint Venture yang memiliki pelaburan huluan PETRONAS di Kanada.
MidOcean turut memperoleh 20% dalam North Montney LNG Ltd Partnership yang mengawal penyertaan PETRONAS dalam LNG Canada. - DagangNews.com





