
BATU PAHAT: Rakan sekolah kepada pelajar perempuan yang ditemukan meninggal dunia, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, menafikan dakwaan melibatkan mangsa dan suspek yang dikatakan terlibat dengan hubungan cinta.
Seorang pelajar sekolah yang enggan dikenali berkata, walaupun kedua-dua mangsa dan suspek yang telah direman semalam merupakan rakan sekelas, tetapi mereka jarang dilihat bersama-sama di sekolah.
“Sepanjang di sekolah tidak nampak pula seperti mereka bercinta atau salah seorang daripada mereka suka antara satu sama lain. Kerana kalau dilihat mereka ada kawan rapat masing-masing, mereka ada pasangan sendiri.
“Tetapi saya tidak tahu jika di sebaliknya salah seorang daripada mereka ada menyimpan perasaan terhadap pihak lain, cuma di sekolah memang tiada anggapan mereka bercinta atau dakwaan seperti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Sementara itu, seorang lagi pelajar sekolah berkenaan turut menafikan dakwaan bahawa Irene Sofiya dan suspek yang direman ada hubungan cinta.
“Saya tidak tahu mereka bercinta kerana rasanya mereka ada kawan lain. Walaupun saya bukan satu kelas bersama mereka tetapi kami agak rapat juga sering bertegur dan bertanya khabar di sekolah.
“Namun apa yang saya tahu, mangsa memang pelajar yang baik dan juga calon anugerah pelajar. Kami sedih apabila membaca tuduhan-tuduhan di media sosial, walaupun kami tidak tahu perkara sebenar yang berlaku ketika kejadian tetapi kedua-duanya orang baik,” katanya.
Malam kelmarin, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini dipercayai dibunuh.
Sementara itu semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad pula memberitahu pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.-UTUSAN
The post Rakan sekolah sedih, nafi tuduhan bukan-bukan terhadap Irene Sofiya, suspek appeared first on Utusan Malaysia.




