
PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Afrika tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan tindakan rakannya yang terlibat dalam kejadian serangan bersenjatakan parang sehingga menyebabkan seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan di Desa Aman Puri, Kepong, minggu lalu.
Lelaki dikenali sebagai Chibuzo Williams itu turut mendakwa suspek yang juga rakannya mengalami masalah kesihatan tertentu, dipercayai mempengaruhi tindakannya ketika kejadian.
Menerusi hantaran di Facebook, Chibuzo berkata, dia memahami kemarahan dan kekecewaan rakyat Malaysia terhadap tindakan rakannya itu, selain menzahirkan rasa kesal atas kejadian berkenaan.
“Kepada rakan-rakan kami di Malaysia, kami warga Afrika memahami betapa marah dan kecewanya anda semua terhadap tindakan saudara kami.
“Bagi pihak warga Afrika, saya dengan ikhlas memohon maaf atas apa yang berlaku. Kami amat kesal dengan tindakannya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Chibuzo, rakannya itu didakwa mengalami gangguan kesihatan yang turut diketahui pihak polis, selain menyifatkan rakannya itu sebagai seorang individu yang tidak mempunyai sifat suka menimbulkan masalah.
“Namun, saya berharap anda semua memahami bahawa kawan kami dilaporkan mengalami gangguan kesihatan dan perkara itu juga diketahui pihak polis.
“Mereka yang mengenalinya dengan rapat boleh mengesahkan bahawa dia bukan seorang yang secara semula jadinya suka menimbulkan masalah. Kami percaya sekiranya dia berada dalam keadaan fikiran yang waras, dia tidak akan melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.
Chibuzo turut mendakwa suspek merupakan seorang anak yatim piatu yang sudah kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
Katanya, kenyataan tersebut bukan bertujuan mempertahankan tindakan rakannya atau menafikan penderitaan yang dialami mangsa, sebaliknya sekadar merayu agar masyarakat menunjukkan sedikit belas ihsan.
“Saya tidak menulis perkara ini untuk membenarkan tindakannya atau mengetepikan kesakitan dan kemarahan yang telah ditimbulkannya.
“Saya hanya merayu agar masyarakat menunjukkan kefahaman, belas kasihan dan sedikit ihsan,” ujarnya.
Dalam hantaran berasingan, Chibuzo turut meluahkan kesedihan atas pemergian rakannya itu sambil menyifatkan hubungan mereka begitu rapat seperti adik-beradik.
“Saya masih sukar mempercayai bahawa kamu sudah tiada. Saya tidak pernah membayangkan perlu mengucapkan selamat tinggal dengan cara sebegini.
“Kamu lebih daripada seorang sahabat, kamu seperti darah daging dan saudara saya sendiri. Kenangan kita tidak akan pernah dilupakan,” katanya.
Bagaimanapun, permohonan maaf itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mengingatkan supaya nasib anggota polis yang menjadi mangsa serangan tidak dilupakan.
Seorang pengguna Facebook, Rltrl H Rk berkata, meskipun memahami kesedihan kehilangan seorang rakan, masyarakat juga perlu mengambil kira penderitaan anggota polis dan keluarganya.
“Saya faham dia saudara kamu dan kehilangan seseorang amat menyakitkan. Tetapi jangan kita lupa bahawa anggota polis itu juga mempunyai keluarga yang sedang menderita akibat kejadian tersebut.
“Seorang lelaki kehilangan tangannya ketika menjalankan tugas. Kita tidak sepatutnya mengagungkan keganasan atau melupakan mangsa. Setiap tindakan mempunyai akibat dan simpati saya juga bersama anggota polis yang cedera serta keluarganya,” katanya.
Sementara itu, pengguna Facebook, Shahrul Shibba turut meluahkan kemarahan terhadap kenyataan berkenaan.
“Anggota polis putus tangan kerana kawan kamu. Dia juga mempunyai keluarga. Permohonan maaf patut dibuat terhadap keluarganya,” komennya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang ketika menjalankan tugas di Desa Aman Puri, Kepong, pada 11 November lalu.
Mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengalami kecederaan sehingga putus pergelangan tangan kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mangsa kemudian menjalani pembedahan bagi menyambung semula pergelangan tangan yang terputus itu.
Dalam kejadian sama, suspek turut dilaporkan bertindak agresif terhadap anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ditembak mati oleh polis.
Susulan itu, dua pakar dari HKL berjaya menjalankan pembedahan menyambung semula tangan anggota polis terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Tetak tangan polis: ‘Kami wakil warga Afrika minta maaf’ appeared first on Kosmo Online.






