Rakyat berjimat buat persiapan raya

9 Mar 2026 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Irmawati sedang memilih pakaian raya ketika ditemui di Kompleks PKNS Shah Alam pada Ahad. Gambar kecil: Rosmawati (kiri) dan Jupilah.
image is not available
Orang ramai memenuhi Kompleks PKNS Shah Alam untuk membuat persiapan Aidilfitri.
image is not available
Pengguna sedang memilih kuih raya dijual di Kompleks PKNS Shah Alam.

SHAH ALAM - Orang ramai memilih untuk berbelanja secara berhemah dalam membuat persiapan Aidilfitri tahun ini dengan mengutamakan keperluan serta membeli mengikut kemampuan masing-masing.

Ia sekali gus dilihat bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu yang menasihatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi konflik antarabangsa ketika ini.

Kakitangan swasta, Irmawati Lazim, 50, berkata, persiapan raya tahun ini sekadar sederhana dan tidak dilakukan secara berlebihan.

Menurutnya, dia lebih berhati-hati dalam membuat pembelian dengan menumpukan kepada jualan yang menawarkan potongan harga.

“Persiapan raya tahun ni sekadar biasa-biasa sahaja. Selain itu, saya lebih fokus kepada jualan promosi. Sebagai contoh, kalau peniaga kata dua pasang baju ada harga diskaun, barulah saya ambil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks PKNS Shah Alam pada Ahad.

Irmawati berkata, dia juga mengamalkan sikap membeli barangan yang benar-benar diperlukan sahaja dan mengelakkan pembelian yang tidak penting.

**media[3456993]**

Seorang lagi kakitangan swasta, Rosmawati Mahmud, 50, berkata, persiapan raya yang dilakukan tahun ini masih sama seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu secara sederhana.

Menurutnya, peningkatan harga barangan ketika ini menyebabkan orang ramai termasuk dirinya perlu lebih berjimat.

“Sekarang semua mahal. Jadi, kita kena beli ikut kemampuan,” katanya.

Mengulas nasihat Perdana Menteri supaya rakyat perlu berjimat cermat dalam keadaan konflik semasa, Rosmawati berkata, saranan tersebut wajar dipatuhi oleh orang ramai.

“Jadi, kita beli pun ikut keperluan saja, bukan ikut nafsu. Apabila rasa barangan itu keperluan penting, barulah beli.

“Sekiranya, rasa aitu bukan keutamaan buat masa ini, tidak perlulah beli lagi buat masa ini,” tambahnya.

**media[3456994]**

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Jupilah Sabtal, 51, berkata, persiapan Aidilfitri yang dibuat juga dilakukan secara sederhana.

Menurutnya, langkah berjimat cermat sememangnya menjadi amalan diri terutama dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat.

Kakitangan swasta itu memberitahu, pembelian pakaian raya untuk meraikan lebaran tetap dilakukan, namun memilih harga yang lebih rendah.