Rakyat dapat apa dalam Belanjawan 2027?

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 6:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rakyat dapat apa dalam Belanjawan 2027?

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 membawa pelbagai manfaat kepada rakyat menerusi bantuan kewangan, peningkatan pendapatan, pelepasan cukai serta inisiatif bagi meringankan beban kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelbagai langkah melibatkan sektor pendidikan, perumahan, pengangkutan dan kebajikan ketika membentangkan Belanjawan Madani kelima di Dewan Rakyat hari ini.

Berikut adalah 15 manfaat utama yang diumumkan kerajaan untuk rakyat:

  1. Bantuan STR dan SARA sehingga RM1,800 setahun

Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini, dengan penerima STR layak menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun yang memanfaatkan kira-kira sembilan juta penerima.

  1. Bantuan SARA RM100 sebanyak dua kali

Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima bantuan SARA RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-70, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

  1. Gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000

Kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, namun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian daripada pelaksanaan kadar baharu itu.

  1. Pelepasan cukai individu meningkat kepada RM12,000

Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, manakala kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus dan RM100,000 hingga RM150,000 kepada 24 peratus.

  1. Pelepasan cukai bagi penjagaan selepas bersalin

Skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan rawatan perubatan diperluas untuk merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, selain perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek yang tidak lagi terhad kepada aspek kesihatan sahaja.

  1. Cuti bersalin penjawat awam ditambah kepada 490 hari

Kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan bagi penjawat awam wanita ditingkatkan daripada 360 kepada 490 hari, dengan tempoh maksimum 98 hari dibenarkan bagi setiap kelahiran.

  1. Bantuan Awal Persekolahan meningkat kepada RM200

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk sesi persekolahan 2027 bagi membantu ibu bapa menampung perbelanjaan persediaan persekolahan anak-anak.

  1. Penangguhan bayaran PTPTN untuk peminjam berpendapatan rendah

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan diberikan penangguhan bayaran balik, manakala mereka yang berpendapatan melebihi RM2,500 hingga RM3,000 hanya perlu membuat bayaran minimum RM50 sebulan.

Diskaun 10 peratus turut ditawarkan kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat pembayaran secara teratur.

  1. Bantuan tiket penerbangan FLYSiswa meningkat kepada RM500

Bantuan tiket penerbangan menerusi inisiatif FLYSiswa dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 bagi membantu mengurangkan kos perjalanan lebih 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang layak.

  1. Pengecualian duti setem pembelian rumah pertama

Kerajaan mencadangkan pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000, manakala rumah sehingga RM750,000 menikmati pengecualian penuh bagi RM500,000 pertama dan pengecualian 50 peratus untuk bakinya.

Inisiatif itu melibatkan perjanjian jual beli mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

  1. Kadar pencen terendah dinaikkan kepada RM1,350

Kadar pencen terendah dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan yang bakal memanfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan.

  1. Bantuan penjagaan OKU terlantar meningkat kepada RM600

Bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU) terlantar dan pesakit kronik dinaikkan kepada RM600 sebulan, manakala Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas turut ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Ambang pendapatan bagi kelayakan Elaun Pekerja OKU juga dinaikkan kepada RM2,000 sebulan.

  1. Bantuan baik pulih rumah mangsa bencana meningkat kepada RM10,000

Kadar bantuan baik pulih rumah kepada mangsa bencana digandakan daripada RM5,000 kepada RM10,000 bagi membantu mereka membaiki kediaman yang mengalami kerosakan akibat kejadian bencana.

  1. Bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi dan bas sekolah

Seramai 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah bakal menerima bantuan kewangan khas sebanyak RM1,000 secara sekali bayar yang akan disalurkan pada minggu selepas pembentangan Belanjawan 2027.

  1. Pas MYKOMUTER50 diperkenalkan

Kerajaan memperkenalkan kemudahan pas MYKOMUTER50 bagi membantu pengguna KTM Komuter mengurangkan perbelanjaan pengangkutan harian, selain meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 untuk pengguna pengangkutan awam. –UTUSAN

The post Rakyat dapat apa dalam Belanjawan 2027? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved