
PETALING JAYA – Keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan asas Budi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan mendapat pelbagai reaksi pengguna di media sosial.
Rata-rata pengguna media sosial menyambut baik keputusan berkenaan, terutama mereka yang sebelum ini mendakwa terkesan dengan had 200 liter sebulan.
Seorang pengguna, Osman Avanza berkata, pemberian 300 liter sebulan dilihat dapat mengurangkan tekanan kepada rakyat yang menggunakan lebih banyak bahan api untuk urusan harian.
“Kalau bagi 300 liter sebulan pun kalau tak habis, bukan kerajaan rugi pun. Cumanya rakyat taklah tertekan jika habis 200 liter,” komennya.
Sementara itu, Shaha Hji Din Shaha berkongsi pengalaman penggunaan Budi RON95 sebanyak 200 liter yang didakwa cepat habis disebabkan perjalanan jauh.
“200 liter balik kampung dari Muadzam Shah ke Pasir Mas duduk lima hari kampung habis 200 liter Budi. Kalau orang berulang kerja dari Seremban ke Kuala Lumpur tiap-tiap hari, boleh tahan ke dengan 300 liter,” katanya.
Mohd Bukhori pula berkata, peningkatan had berkenaan memberi manfaat kepada pengguna yang sebelum ini terkesan dengan had 200 liter.
“Sebab apa pun, ambo tak kisah. Ambo sokong kenaikan kepada 300 liter ini sebab ambo antara yang terkesan dengan 200 liter sebelum ini,” tulisnya.
Dalam pada itu, terdapat juga pengguna yang berpandangan pemberian subsidi perlu dibuat berdasarkan keperluan dan kumpulan sasaran.
“Itu sudah tersasar, B40 cukup sekadar 200 liter, 300 liter perlu diberi kepada yang memohon. Baru tepat sasarannya,” komen Mohd Nuri Ismail Nuri.
Seorang lagi pengguna, Salam Bunga pula sekadar menyambut baik keputusan tersebut dengan menulis, “Terbaikk PMX”.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Budi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Menurut beliau, langkah itu membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Pada masa sama, lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel layak menerima Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan. – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat gembira Budi95 kembali ke 300 liter appeared first on Kosmo Digital.


![[INFOGRAFIK] PM umum enam ikhtiar untuk rakyat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/30/3631402.webp)

![[VIDEO] Dipanggil ‘baby’, anjing K9 terus ‘naik angin’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-30-at-4.55.47-PM.jpeg)

