
SEOUL: Puluhan rakyat Korea Selatan menggesa kerajaan mereka supaya tidak menghantar tentera ke Selat Hormuz yang strategik, sambil mengecam apa yang mereka sifatkan sebagai ‘perang haram’ oleh Washington.
Penunjuk perasaan yang berhimpun di seberang kompleks besar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Seoul mengangkat sepanduk bertulis ‘Jangan sertai perang pencerobohan’, ketika pemimpin negara itu mempertimbangkan sumbangan kepada usaha menjaga keselamatan laluan perairan itu.
Presiden AS, Donald Trump memberi tekanan kepada sekutu Washington itu supaya membantu dalam perang di Asia Barat yang menyaksikan Iran mengetatkan kawalan terhadap Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dunia.
“Kita tidak boleh menghantar anak-anak muda kita ke laut yang membawa maut!” laung penunjuk perasaan ketika berhimpun di tangga Pusat Seni Persembahan Sejong di Seoul.
Protes itu diadakan sehari selepas pihak berkuasa pertahanan Korea Selatan berkata, mereka menghantar misi penilaian untuk meneliti keadaan di Selat Hormuz, namun menegaskan belum ada keputusan dibuat mengenai sebarang penghantaran tentera.
Korea Selatan pada Jumaat berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memberi sumbangan kepada usaha keselamatan AS di sepanjang selat itu, dengan syarat kesiapsiagaan ketenteraannya sendiri tidak terjejas.
Iran memberi amaran sebarang penghantaran tentera Korea Selatan akan dianggap sebagai sokongan langsung kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan itu dan akan membawa akibat yang serius.
Ahli kumpulan masyarakat sivil Pergerakan Rakyat untuk Demokrasi Partisipatif, Jung Kyung-jik memberitahu AFP, beliau memahami pendirian Teheran.
“Seperti yang dikatakan Iran, penghantaran tentera kita ke rantau itu akan bermakna penyertaan secara langsung dalam perang haram.
“Sudah banyak pelanggaran undang-undang antarabangsa berlaku akibat serangan AS terhadap Iran, termasuk pengeboman sebuah sekolah rendah dan infrastruktur tenaga,” katanya.
Trump menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan daripada sekutu dalam perang yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran enam bulan lalu dan kini menemui jalan buntu.
Iran terus mengetatkan kawalan terhadap selat strategik itu, yang menjadi laluan kepada kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia sebelum perang tercetus, manakala Washington meneruskan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
Anggota Pergerakan Keamanan Korea untuk Kedaulatan dan Penyatuan Semula, Choi Young-ok turut memberi amaran penghantaran tentera pasti akan mengakibatkan korban jiwa.
“Menghantar tentera kita menyertai perang haram yang dilancarkan AS tidak boleh diterima.
“Tiada sebab untuk kita menghantar tentera apabila tiada negara lain berbuat demikian atau menyatakan hasrat untuk berbuat demikian,” katanya.
Jika Seoul memutuskan untuk menghantar angkatan tenteranya ke selat itu, langkah berkenaan memerlukan kelulusan Parlimen melalui undian majoriti di Dewan Nasional.-AFP
The post Rakyat Korea Selatan gesa kerajaan tolak campur tangan dalam perang Iran appeared first on Utusan Malaysia.




