Taikun Korea Selatan diarah bayar RM6 bilion kepada bekas isteri

WorldBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 3:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Taikun Korea Selatan diarah bayar RM6 bilion kepada bekas isteri

SEOUL: Taikun permainan video Korea Selatan, Kwon Hyuk-bin, diarahkan membayar lebih dua trilion won (RM6 bilion) dalam penyelesaian penceraian, sekali gus menjadi pembahagian aset terbesar pernah diputuskan di negara itu.

Mahkamah Keluarga Seoul hari ini memutuskan Hyuk-bin perlu menyerahkan 35 peratus pegangannya dalam syarikat permainan video, Smilegate, bernilai kira-kira 2.5 trilion won (RM8.5 bilion), selain membayar 65 bilion won (RM221 juta) secara tunai.

Jumlah itu mengatasi 944 bilion won (RM3.2 bilion) yang diputuskan dalam penyelesaian penceraian antara Pengerusi Kumpulan SK, Chey Tae-won, dengan bekas isteri, Roh Soh-yeong.

Hyuk-bin mengasaskan Smilegate pada 2002 dan membangunkan syarikat itu menjadi antara firma permainan video paling berjaya di Korea Selatan.

Bekas isterinya, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Lee, memfailkan penceraian pada November 2022 dan menuntut separuh daripada pegangan Hyuk-bin dalam Smilegate Holdings, menurut media tempatan.

Lee mendakwa, beliau memainkan peranan dalam penubuhan serta pengurusan awal syarikat itu, selain menyumbang secara tidak langsung melalui kerja rumah tangga.

Beliau berhujah sumbangan berkenaan melayakkannya menerima separuh daripada pegangan Hyuk-bin dalam syarikat terbabit.

Mahkamah menganggarkan jumlah aset Kwon mencecah sehingga 8.016 trilion won, menurut laporan media tempatan.- AFP

 

The post Taikun Korea Selatan diarah bayar RM6 bilion kepada bekas isteri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved