Rakyat mahu kepimpinan dari Sabah: Ketua Menteri

LocalPolitics
29 Aug 2025 • 1:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMBUNAN: Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keyakinannya bahawa gabungan pemerintah GRS-Plus akan diberikan mandat baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, berikutan sentimen yang kuat untuk parti tempatan menerajui Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata Kerajaan Negeri diwakili oleh lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat, Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Harapan Sabah, United Sabah National Organisation (Usno), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Parti-parti ini adalah harapan kita dalam PRN akan datang. Kita tidak boleh sia-siakan peluang keemasan ini kerana sentimen rakyat sangat kuat untuk parti tempatan memimpin politik Sabah,” katanya pada program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini, Khamis.

“Saya mahu rakyat bersatu. Inilah masa terbaik untuk kita memastikan GRS menang dengan cemerlang dalam PRN. Pemimpin GRS di Tambunan mesti menang dan kita ada pemimpin yang baik di sini iaitu Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan,” katanya.

Hajiji berkata sepanjang lima tahun lalu Kerajaan Negeri GRS di bawah kepimpinannya telah membuktikan rekod pencapaian membawa pembangunan kepada negeri dan rakyat.

“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan berjaya membangunkan semula ekonomi negeri berasaskan tiga teras ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Dalam sektor pertanian, kita telah menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras  Sabah dengan matlamat untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri  kepada 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Dalam sektor perindustrian pula, katanya, Kerajaan Negeri berjaya menarik ramai pelabur berimpak tinggi, termasuk pelabur dari Singapura yang membawa masuk pelaburan bernilai RM31 bilion melalui tiga fasa.

“Ini bukan sahaja dapat menjana ekonomi negeri, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri telah melaksanakan banyak inisiatif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, termasuk bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar di Sabah selama setahun.

“Dari segi bantuan kebajikan, kita membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam pendidikan, kita membelanjakan RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan,” katanya.

“Saya ingin bertanya kepada Shafie Apdal, apa yang beliau telah lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan juga ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar selama hampir tujuh tahun?” soalnya.

Hajiji berkata rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah dalam PRN akan datang.