
BELANJAWAN 2027 semakin hampir. Ketika kerajaan sedang memperincikan angka, peruntukan dan pelbagai strategi untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang, di luar sana rakyat juga sedang membuat kira-kira.
Bezanya, kira-kira rakyat bukan dalam bentuk angka berbilion atau bertrilion ringgit, sebaliknya cukupkah wang dalam akaun untuk bertahan sehingga hujung bulan.
Setiap pagi, jutaan rakyat keluar mencari rezeki dengan harapan yang sama. Mahu membawa pulang wang yang cukup untuk kehidupan keluarga.
Namun, sebelum gaji sempat digunakan, pelbagai hal perlu dilunaskan bermula dari bayaran rumah, kereta, bil elektrik, petrol hinggalah kepada urusan barang dapur dan keperluan sekolah anak.
Inilah realiti kehidupan hari ini. Pendapatan mungkin meningkat, tetapi perbelanjaan juga semakin bertambah.
Ada keluarga yang dahulu mampu menyimpan sedikit daripada gaji bulanan, kini terpaksa menghabiskan sebahagian besar pendapatan hanya untuk memastikan kehidupan berjalan seperti biasa.
Lebih membimbangkan dan terkesan pastinya golongan pertengahan. Mereka mungkin tidak terlalu miskin untuk menerima semua bentuk bantuan, tetapi juga tidak cukup kaya untuk hidup tanpa memikirkan harga barang.
Mereka bekerja, membayar cukai, membayar pinjaman dan mengurus keluarga, namun dalam diam turut berdepan tekanan kewangan.
Sebab itu Belanjawan 2027 bukan sekadar ditunggu untuk mengetahui berapa jumlah bantuan yang bakal diterima. Rakyat mahu tahu apakah kerajaan benar-benar memahami kehidupan mereka.
Dan apakah langkah yang boleh menjadikan gaji lebih bermakna? Apakah usaha yang boleh memastikan harga barang tidak terus menekan khususnya di Sabah dan Sarawak?
Rakyat sebenarnya tidak meminta kehidupan mewah. Mereka cuma mahu kehidupan yang lebih tenang. Mahu membeli barang dapur tanpa perlu mengira setiap sen. Mahu menghantar anak ke sekolah tanpa terlalu memikirkan kos. Mahu membaiki kereta apabila rosak tanpa terpaksa menangguhkan keperluan lain.
Begitu juga dengan ibu bapa yang semakin berusia. Kos rawatan dan penjagaan kesihatan menjadi antara perkara yang mula difikirkan.
Anak-anak pula memerlukan pendidikan yang semakin mahal. Dalam keadaan sebegini, sebuah keluarga bukan sahaja perlu memikirkan kehidupan hari ini, tetapi juga perlu menyediakan wang untuk hari esok.
Belanjawan 2027 sewajarnya melihat persoalan ini secara menyeluruh.
Bantuan tunai penting bagi mereka yang memerlukan, tetapi pada masa yang sama rakyat memerlukan peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih baik, pendidikan berkualiti dan kos perkhidmatan asas yang munasabah.
Lebih penting, rakyat mahu melihat pembangunan yang benar-benar dirasai bukan hanya rakyat di bandar, tetapi juga mereka yang ada di desa terpencil. -KOSMO! ONLINE
The post Rakyat makin penat mengejar hidup appeared first on Kosmo Online.


