
KOTA BHARU – Tidak nampak atau perasan keberadaan dua penunggang basikal dipercayai menjadi punca pemandu sebuah kereta merempuh dua sekawan yang sedang berbasikal hingga maut di Kilometer 16.5, Lebuh Raya Rakyat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Zamrie Rismawadi Mahmet, 49, yang merupakan kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan rakannya, Nik Zaki Yamani Nik Abdul Aziz, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa menunggang basikal di lorong sebelah kiri lebuh raya itu dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh.
Katanya, sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun turut datang dari arah sama.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai tidak nampak atau perasan kedua-dua penunggang basikal tersebut.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta berkenaan tidak sempat untuk mengelak sebelum merempuh bahagian belakang basikal kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Ruzailan memberitahu, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penunggang basikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.- KOSMO! ONLINE
The post Pemandu tak nampak punca nahas dua penunggang basikal maut appeared first on Kosmo Digital.






