
PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia di Iran dijangka dibawa keluar dari negara berkenaan pada Jumaat ini susulan situasi keselamatan yang semakin tegang selepas tindakan agresif Israel terhadap Iran.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beberapa persiapan sedang diusahakan kerajaan untuk membawa keluar rakyat Malaysia dengan selamat.
“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) sudah memberi sedikit makluman perkembangan semasa tentang situasi dan keadaan di Iran kepada Jemaah Menteri hari ini.
“Beliau maklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia yang berada di Iran jumlah yang berdaftar itu termasuk pelajar dan pelancong tidak terlalu besar, tapi mereka telah digerakkan untuk bergerak keluar dari negara Iran.
“Segala persiapan visa telah dimuktamadkan, Insha-Allah mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini, dijangka pada 20 Jun (Jumaat),” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
https://youtube.com/shorts/h8Q84lcE8Fs?si=GQS4XZm_gYSo4axu
Ditanya sama ada kerajaan sudah mempunyai pelan evakuasi untuk rakyat Malaysia, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mengesahkan perkara itu.
“Ya, ada beberapa persiapan, tapi oleh kerana ia melibatkan aspek keselamatan, saya tak boleh nyatakan (perincian),” katanya.
Semalam Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, semua rakyat Malaysia yang menetap di Iran dinasihatkan meninggalkan negara berkenaan serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.
Nasihat itu dikeluarkan Kementerian Luar yang memantau perkembangan keselamatan di Iran melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.
"Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
"Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
"Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan kementerian ini," katanya. - 18 Jun, 2025
The post Rakyat Malaysia dijangka dibawa keluar dari Iran Jumaat ini: Fahmi appeared first on Scoop.


