SST: Kerajaan ambil serius suara rakyat, hasil akan dimanfaat secara telus – Fahmi

LocalPolitics
18 Jun 2025 • 6:10 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan memberi jaminan akan mengambil serius setiap kebimbangan yang disuarakan rakyat berhubung pelaksanaan serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan bagaimanapun belum dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

image is not available

Kerajaan ambil serius suara rakyat berhubung isu SST

Menurutnya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dijangka akan tampil memberikan penjelasan lebih lanjut dalam masa terdekat.

“Pandangan yang serius akan diberikan terhadap maklum balas yang diberikan rakyat. Tapi seperti yang umum sendiri maklum, apa yang dikutip melalui hasil SST ini akan disalurkan untuk pembinaan contohnya sekolah dan hospital,” katanya.

image is not available

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan kutipan cukai digunakan sebaiknya untuk kepentingan rakyat.

“Pada masa sama, kerajaan juga komited mengurangkan kecurian ataupun penyelewengan dana dan membanteras rasuah dengan lebih tegas,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan berharap hasil cukai daripada peluasan skop SST itu dapat membantu lebih ramai rakyat secara langsung.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar terhadap kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan bermula 1 Julai 2025.

Kadar cukai jualan kekal untuk barangan keperluan, manakala cukai lima atau 10 peratus akan dikenakan terhadap barangan tidak penting atau bergantung pada budi bicara.

image is not available

Perkhidmatan baharu yang akan dikenakan cukai termasuk penyewaan, pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.

Sumber: FB Fahmi Fadzil