
PUTRAJAYA - Kerajaan mengambil serius maklum balas orang awam mengenai pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dijangka memberi penjelasan lebih lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
"Pandangan yang serius akan diberikan terhadap maklum balas yang diberikan (rakyat).
"Tapi seperti yang umum sendiri maklum, apa yang dikutip melalui hasil (SST) ini akan disalurkan untuk pembinaan contohnya sekolah dan hospital.
"Pada masa sama, kerajaan juga komited mengurangkan kecurian ataupun penyelewengan dana dan membanteras rasuah dengan lebih tegas," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Sebelum ini beberapa pihak membantah skop peluasan SST itu dan meminta ia ditangguhkan sementara waktu sehingga ekonomi negara kembali stabil.
Antaranya enam persatuan perniagaan yang mewakili puluhan ribu perniagaan menyifatkan peluasan SST akan ‘menghukum’ perniagaan yang berkembang, membesar atau melabur dalam premis komersial sewa selain mewujudkan keadaan yang tidak kondusif untuk pelaburan semula.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan juga komited bahawa hasil cukai daripada perluasan skop SST ini diharap dapat membantu lebih ramai rakyat.
Terdahulu, Amir Hamzah berkata, kerajaan menjangkakan penambahbaikan SST itu bakal menjana hasil kepada negara sebanyak RM51.7 billion pada 2025.
Menurutnya, hasil kutipan SST bagi 2024 adalah sebanyak RM44.7 bilion.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 % akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan. - 18 Jun, 2025
The post SST: Kerajaan ambil serius maklum balas ramai, penjelasan lanjut dalam masa terdekat appeared first on Scoop.

