
KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia tidak menyangka keadaan lalu lintas yang lengang bertukar kecoh selepas diserang sekumpulan perusuh dalam kejadian di kota Paris, Perancis, semalam.
Menerusi perkongsian di Threads, Ozil Zainal berkata, ketika kejadian dia sedang memandu untuk memasuki Paris selepas mendapati lalu lintas ke kota raya itu agak lengang.
“Ketika melalui satu jalan, tiba-tiba semua kenderaan berhenti kerana terdapat segerombolan perusuh melalui kawasan berkenaan.
“Saya dan kenderaan lain tidak dapat bergerak, kami terperangkap kerana kanan dan kiri tiada jalan keluar. Kami terpaksa menunggu sehingga keadaan beransur aman dan lalu lintas lancar,” katanya.
Menurut Ozil, sepanjang terkandas, dia melihat pihak keselamatan termasuk bomba dan ambulans berkejaran ke tempat rusuhan untuk mengawal keadaan.
Rusuhan yang melumpuhkan kota Paris itu menyebabkan banyak harta benda awam musnah.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Lili Abroad turut berdepan situasi cemas ketika membeli-belah di sebuah butik jenama mewah pada pukul 5 petang (waktu tempatan).
Wanita itu bagaimanapun bersyukur kerana dapat bergerak dari kawasan rusuhan dengan cepat sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Masa dalam LV ( butik Louis Vuitton) pintu premis dikunci dan beberapa (butik lain) pun tutup pintu,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Menurut Lili, dia sudah memperoleh maklumat daripada sumber lebih mengenai demonstrasi tersebut dan bergerak lebih awal untuk membeli-belah.
Wanita itu kini sudah bergerak ke Selatan Perancis untuk urusan lanjut.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Khairul Razkin berkata, dia berasa sedih apabila mendapat tahu bangunan ikonik di bandar berkenaan turut menjadi sasaran perusuh.
“Bangunan Hotel de ville de Limoges yang terletak lima minit dari rumah saya musnah dibakar. Bangunan ini tersergam indah sejak 1883. Sedih melihat suasana yang berlaku hari ini,” katanya yang dipercayai menetap di Limoges, Perancis.
Gelombang rusuhan dan protes besar-besaran sedang melanda beberapa negara di Eropah sejak September lalu dan memuncak di beberapa bandar raya utama termasuk Paris dan Milan, Itali semalam.
Krisis itu dikatakan dicetuskan oleh gabungan kemarahan terhadap beberapa isu khususnya kebajikan pelajar, kemerosotan perkhidmatan awam dan peningkatan kos sara hidup.
Rusuhan besar-besaran itu mencetuskan antara keganasan paling buruk dalam sejarah negara itu sejak beberapa dekad lalu.
The post Rakyat Malaysia cemas butik mewah dikunci, bangunan ikonik dibakar appeared first on Kosmo Online.






