
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan seluruh rakyat Malaysia menghentikan penggunaan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, saranan itu dibuat kepada rakyat Malaysia dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta
perlindungan data peribadi yang ditawarkan.
“Perdana Menteri telah memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam
bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman
penyalahgunaan oleh rejim Israel.
“Keputusan ini mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel,” katanya hari ini.
Pejabat Perdana Menteri berkata, maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Pendirian Kerajaan Madani adalah tegas dan kita akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat Malaysia disaran guna TuJu, ganti Waze appeared first on Kosmo Online.





