Rakyat Malaysia maut di Korea Selatan, seorang lagi ditahan

27 Jul 2026 • 12:02 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat Malaysia maut di Korea Selatan, seorang lagi ditahan
Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga Malaysia berhubung kes tikam sehingga menyebabkan kematian seorang lagi rakyat Malaysia dalam satu pergaduhan berkumpulan di Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.

KUALA LUMPUR - Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga Malaysia berhubung kes tikam sehingga menyebabkan kematian seorang lagi rakyat Malaysia dalam satu pergaduhan berkumpulan di Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, lapor The Korea Herald pada Ahad.

Akhbar harian berbahasa Inggeris Korea Selatan itu melaporkan bahawa kejadian berlaku kira-kira 3 pagi Ahad di sebuah bangunan komersial, apabila kira-kira 10 individu daripada dua kumpulan bertentangan dipercayai berkumpul selepas bersetuju untuk berlawan antara satu sama lain.

Menurut laporan itu, suspek disyaki menikam seorang lelaki Malaysia berumur 20-an semasa pergaduhan berkenaan, menyebabkan mangsa cedera parah.

Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, manakala seorang lagi individu yang mengalami kecederaan parah masih dirawat di hospital.

Polis memaklumkan suspek melarikan diri ke sebuah kediaman berhampiran selepas kejadian itu tetapi berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pergaduhan berkenaan, menurut laporan itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved