
Saudara Pengarang,
Sebagai rakyat biasa, kita mungkin sudah biasa dengan panas terik dan cuaca tidak menentu, tetapi apabila jerebu mula menyelubungi negara, keadaan menjadi begitu berbeza.
Langit yang sepatutnya biru bertukar kelabu, pandangan semakin kabur dan yang paling merisaukan ialah udara yang kita sedut setiap hari terasa tidak lagi menyegarkan.
Jerebu bukan sekadar mengganggu pemandangan atau menyebabkan aktiviti luar terpaksa dikurangkan. Bagi sesetengah individu, terutama kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, udara tercemar boleh mendatangkan kesan yang lebih serius. Batuk, sakit tekak, mata pedih dan kesukaran bernafas mula menjadi keluhan yang biasa kedengaran.
Lebih membimbangkan apabila keadaan jerebu berlarutan sehingga rutin harian rakyat turut terjejas. Anak-anak terpaksa mengurangkan aktiviti di luar, program sukan ditangguhkan dan ada yang memilih untuk duduk di rumah kerana bimbang terdedah terlalu lama kepada udara tercemar.
Dalam keadaan sebegini, kita berharap semua pihak tidak memandang ringan isu jerebu.
Pemantauan kualiti udara perlu dilakukan secara berterusan, manakala maklumat berkaitan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hendaklah disampaikan dengan jelas supaya orang ramai dapat membuat keputusan yang sesuai bagi melindungi diri dan keluarga.
Ibu bapa pula perlu lebih peka terhadap keadaan anak-anak. Jangan biarkan mereka bermain atau melakukan aktiviti lasak di luar ketika keadaan udara tidak sihat.
Begitu juga pihak sekolah dan penganjur program yang perlu mengambil kira faktor kesihatan sebelum meneruskan sebarang aktiviti di kawasan terbuka.
Rakyat mungkin sudah sesak nafas dengan jerebu, tetapi dalam masa sama, kita masih menyimpan harapan agar langit kembali cerah dan udara segar kembali menjadi sesuatu yang biasa, bukan lagi sesuatu yang dirindui.
ZALI,
Kuala Lumpur
The post Rakyat mula rindu udara segar Malaysia appeared first on Kosmo Digital.



