
GEORGE TOWN: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) merancang memperoleh 1,600 bas elektrik secara berperingkat hingga 2031 bagi menggantikan sebahagian bas diesel sedia ada dalam rangkaian Rapid KL dan Rapid Penang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bagi fasa pertama, sebanyak 250 bas elektrik akan diperoleh melibatkan pelaburan RM200 juta, merangkumi 175 bas untuk Rapid KL dan 75 bas bagi Rapid Penang.
Beliau berkata perolehan oleh anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mempercepat peralihan kepada sistem pengangkutan awam rendah karbon, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.
“Peringkat pertama melibatkan perolehan 150 bas elektrik, dengan 40 bas diperuntukkan kepada Rapid Penang dan 110 bas kepada Rapid KL. Penerimaan bas telah bermula pada Jun 2026 dan dijadualkan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.
“Peringkat kedua melibatkan baki 100 bas, dengan 35 diperuntukkan kepada Rapid Penang dan 65 untuk Rapid KL. Penerimaan bas ini dijangka bermula secara berperingkat pada Januari tahun depan dan disasarkan selesai menjelang Mac 2027,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bas Elektrik Rapid Penang di Depoh Weld Quay di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Prasarana Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.
Bagi menyokong pengoperasian bas berkenaan, Loke berkata sebanyak 150 unit pengecas disediakan di sembilan depot termasuk tiga di Pulau Pinang bagi peringkat pertama, manakala 100 unit lagi akan disediakan di enam depot termasuk dua di Pulau Pinang bagi peringkat kedua.
Setakat 13 Okt, katanya, Rapid Bus telah menerima 52 bas elektrik bagi fasa pertama, melibatkan 37 di Kuala Lumpur dan 15 di Pulau Pinang, manakala baki akan diterima secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan.
Beliau berkata daripada 15 bas yang diterima Rapid Penang, 14 merupakan bas sepanjang 8.25 meter dan sebuah lagi sepanjang 12 meter, yang akan digunakan bagi perkhidmatan di bahagian pulau dan Seberang Perai.
Loke berkata pengoperasian bas elektrik pertama Rapid Penang bermula hari ini menandakan era baharu bagi sistem pengangkutan awam negeri itu, seiring dengan usaha membaharui armada bas secara beransur-ansur dengan kenderaan lebih baharu dan mesra alam.
Dalam pada itu, Loke berkata Rapid Penang akan memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara apabila projek itu siap kelak, khususnya dalam memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam di negeri berkenaan.
“Sudah tentu Rapid Penang sebagai pemberi perkhidmatan bas henti-henti di Pulau Pinang, perlu memainkan peranan sokongan untuk memastikan last-mile, first-mile dan sebagainya dapat ditambah baik dan menjadi pelengkap kepada pengangkutan ini,” katanya.






