
GEORGE TOWN : Sebanyak 15 buah bas elektrik (EV) baharu Rapid Penang mula beroperasi hari ini sebagai langkah awal dalam usaha untuk memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih mesra alam di Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 75 bas elektrik telah diperuntukkan kepada Rapid Penang bagi fasa pertama dengan penerimaan baki bas akan dibuat secara berperingkat sehingga Mac 2027.
Beliau berkata, daripada 15 bas yang mula beroperasi itu pula, 14 daripadanya bersaiz 8.25 meter yang memudahkan pergerakan khususnya di kawasan pulau yang mempunyai jalan lebih sempit serta kawasan berpenduduk padat manakala sebuah lagi berukuran 12 meter.
“Ini satu lembaran baharu bagi sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang dengan pengenalan bas EV yang lebih mesra alam,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bas Elektrik Rapid Penang di sini, hari ini.
Menurut Anthony, penggunaan bas elektrik itu turut menyokong usaha Pulau Pinang mengurangkan pelepasan karbon menerusi sektor pengangkutan awam.
Beliau berkata, peralihan kepada bas elektrik dilaksanakan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada perancangan Rapid Bus Sdn. Bhd. untuk memperoleh 1,600 bas elektrik bagi perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang dari 2026 hingga 2031.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 250 bas elektrik diperuntukkan bagi fasa pertama merangkumi 175 bas untuk Rapid KL dan 75 bas bagi Rapid Penang. Setakat 13 Oktober lalu, Rapid Bus telah menerima 52 bas elektrik bagi fasa pertama termasuk 37 bas untuk Rapid KL dan 15 bas untuk Rapid Penang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan perkhidmatan bas elektrik perlu disokong oleh kemudahan pengecasan, penyelenggaraan dan kesiapsiagaan tenaga kerja bagi memastikan kelancaran operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan kepada pengguna.
Beliau turut mengingatkan bahawa operasi bas elektrik yang lebih senyap memerlukan perhatian dari segi keselamatan, khususnya melibatkan pejalan kaki dan kawasan tumpuan orang ramai.
“Bas-bas ini lebih senyap, tetapi ada risikonya kerana apabila ia bergerak, ramai orang mungkin tidak menyedari bas itu sedang melalui kawasan berkenaan. Jadi, perkara ini perlu diambil kira dalam perancangan trafik, laluan pejalan kaki dan kawasan tumpuan orang ramai,” katanya. –UTUSAN
The post 15 bas elektrik Rapid Penang mula beroperasi hari ini – Anthony Loke appeared first on Utusan Malaysia.





