Rakyat perlu sokong ketegasan Shuhaily tangani isu integriti

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 2:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rakyat perlu sokong ketegasan Shuhaily tangani isu integriti

PETALING JAYA: Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (Suara Rakyat) menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zaini.

Sokongan itu diberikan atas ketegasan dan integriti beliau dalam menjalankan tugas berkaitan isu keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengerusinya, Mohd. Zai Mustafa berkata, isu di pintu masuk utama negara itu menyentuh soal maruah, keselamatan dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, tindakan Mohd. Shuhaily mencerminkan sikap bertanggungjawab serta ketegasan dalam melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang.

“Negara ini perlukan lebih ramai pegawai seperti Mohd. Shuhaily. Apabila undang-undang dilanggar di pintu masuk utama negara seperti KLIA, tidak boleh ada kompromi.

“Tegas bukan bermakna zalim, tegas bermakna mempertahankan kedaulatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Mohd. Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan tindakan lanjut yang mungkin dikenakan terhadapnya susulan video tular melibatkan dirinya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bagi menjelaskan kejadian yang berlaku di KLIA pada 28 September lalu.

Menurut Mohd. Shuhaily, satu laporan polis turut dibuat berhubung kemungkinan wujud usaha mencemarkan imej AKPS serta nama beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Zai mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan Mohd. Shuhaily sebagai kambing hitam bagi menutup kelemahan atau salah laku pihak lain.

Katanya, Suara Rakyat akan bersuara sekiranya terdapat usaha mengenakan tindakan tidak adil terhadap beliau.

“Kami tegas akan bersuara jika ada usaha-usaha untuk mengenakan tindakan tidak adil ke atas beliau,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan KLIA sebagai pintu masuk utama negara menuntut pengendalian isu keselamatan secara tegas bagi meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sebuah negara yang selamat.

Menurutnya, ketegasan Mohd. Shuhaily seharusnya diberikan penghargaan dan dijadikan contoh.

“Suara Rakyat berdiri teguh di belakang Datuk Seri Mohd. Shuhaily. Teruskan bertugas dengan tegas, amanah dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN 

The post Rakyat perlu sokong ketegasan Shuhaily tangani isu integriti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved