ALOR SETAR - Golongan pesawah dijangka berdepan peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel, sekali gus memberi kesan terhadap rantaian pengeluaran termasuk bekalan baja dan penggunaan jentera pertanian.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, situasi itu memberi tekanan sekiranya kos input seperti baja turut meningkat, walaupun sehingga kini belum ada sebarang pemakluman daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
“Untuk baja mungkin akan terkesan walaupun sekarang ni Nafas belum beri maklumat terbaru dan kita masih menunggulah perkembangan sama ada berlaku kenaikan harga atau tidak,” katanya.
Menurutnya, pengedaran baja juga dijangka berlaku kelewatan berikutan isu tender yang dikatakan masih belum dimuktamadkan termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Pengedaran baja bergantung kepada tender. Sekarang ni pun kita tengok tender ini saya difahamkan untuk kawasan MADA masih belum selesai tender tu, belum muktamad.
"Kita bimbang dah la lewat, diesel pula naik, kita jangka akan beri kesan jugalah sedikit sebanyak,” katanya.
Jelasnya, isu kelewatan sering berlaku, ditambah pula dengan kenaikan harga diesel dikhuatiri memberi tekanan kepada golongan berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, penyelarasan diesel yang dilaksanakan kerajaan sejak 2024 telah menyebabkan peningkatan kos yang ketara kepada pesawah.
“Cuma sekarang ni kita tengok pada penyasaran diesel 2024, apabila kerajaan menaikkan diesel RM1.20, secara tak langsung kenaikan kos kepada petani meningkat sehingga 55 peratus.
“Jadi bayangkanlah RM1.20 yang meningkat, kos naik sehingga 55 peratus, sekarang ni pula dengan kenaikan sehingga RM5.52, sudah pastilah boleh kira tengok (ada kenaikan)," katanya.
Tambah beliau, kesan kenaikan diesel turut dibimbangi melibatkan kos tidak langsung seperti alat ganti dan logistik yang akhirnya ditanggung pesawah.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyediakan penyelesaian lebih menyeluruh bagi membantu pesawah menghadapi tekanan kos berkaitan.


