
SEREMBAN: Kemenangan besar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta menolak politik berasaskan kebencian dan perkauman.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mandat yang diberikan pengundi daripada pelbagai kaum mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kerjasama BN dan PN untuk mentadbir negeri itu.
Katanya, rakyat kini menaruh harapan agar kerajaan yang dibentuk dapat melaksanakan amanah serta membawa kemajuan demi kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Yang penting, rakyat sedang menunggu parti yang mampu terus memimpin demi kebaikan seluruh rakyat pelbagai kaum dan bangsa di Negeri Sembilan.
“Rakyat menolak unsur kebencian dan perkauman. Sebab itu pengundi Melayu, Cina, India, Orang Asli serta kaum-kaum lain terus memberikan kepercayaan kepada persefahaman BN dan PN,” katanya ditemui selepas pengumuman keputusan tidak rasmi PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, malam ini.
Jalaluddin yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, beliau amat terharu dengan mandat besar yang diberikan rakyat dan menyifatkannya sebagai satu amanah untuk memperkukuh pentadbiran negeri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya para pengundi yang telah memberikan mandat besar ini.
“Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan sebesar ini, amanah yang diberikan menjadi tanggungjawab BN dan PN untuk mengukuhkan lagi pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa kemenangan BN boleh menjejaskan Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, keputusan rakyat yang memberikan majoriti lebih dua pertiga telah menolak segala persepsi negatif yang dimainkan sepanjang kempen pilihan raya.
“Sudah tiba masanya semua pihak menghentikan persepsi negatif dan memandang ke hadapan.
“Kita perlu bersatu serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana kemakmuran negeri ini merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN dan PN supaya segera melaksanakan amanah serta menunaikan segala janji manifesto yang dibuat kepada rakyat.
“Segala janji manifesto mesti ditunaikan. Rakyat tidak akan bertolak ansur dengan wakil rakyat yang gagal menjalankan tanggungjawab kerana mereka akan membuat penilaian pada pilihan raya akan datang.
“Saya mahu semua 25 wakil rakyat BN dan PN memaksimumkan khidmat kepada rakyat tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Mengenai pembentukan kerajaan negeri termasuk pelantikan barisan Exco, Jalaluddin berkata, perkara itu akan diputuskan selepas kerajaan berjaya dibentuk, manakala urusan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan dilakukan dalam masa terdekat. – UTUSAN
The post Rakyat tolak politik kebencian, mahu kerajaan stabil – Jalaluddin appeared first on Utusan Malaysia.






