Agong titah jangan salah guna AI, niat hina seseorang

LocalTechnology
17 Oct 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Agong titah jangan salah guna AI, niat hina seseorang

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan bahawa setiap kebebasan yang diperoleh datang bersama dengan tanggungjawab, justeru rakyat perlu menggunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.

Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah demikian susulan terdapat sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.

“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang. Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.

“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM, turut berangkat ke istiadat konvokesyen itu.

Sultan Ibrahim bertitah rakyat disaran agar tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan niat menghina atau memalukan seseorang.

Titah Seri Paduka Baginda, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.

“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara, dan tidak memandang rendah antara agama dengan bangsa kerana sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara.

“Namun, dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini, ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan dengan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar rakyat tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim turut berkenan kampus UiTM di Jalan Othman, Petaling Jaya, dinamakan “Kampus Tun Arshad Ayub” sebagai menghargai jasa dan sumbangannya yang telah menerajui penubuhan dan pembangunan UiTM sejak 1965.

Allahyarham Arshad yang meninggal dunia pada 2022, merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak 1967 hingga 1975, sebelum dikenali sebagai UiTM dan dianggap sebagai pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di institusi itu.

Terdahulu, istiadat konvokesyen itu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin menyaksikan sebanyak 32,630 graduan akan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang bermula hari ini hingga 16 Dis ini.

UiTM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang merupakan bekas Naib Canselor wanita pertama UiTM. – BERNAMA

The post Agong titah jangan salah guna AI, niat hina seseorang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved