
Dahulu komponen paling mahal pada sebuah telefon pintar ialah panel skrin OLED atau cip pemproses. Tetapi disebabkan permintaan daripada pusat data, RAM kini melonjak menjadi komponen paling mahal dengan ini disahkan oleh pengasas Nothing, Carl Pei pada Jun lalu. Sejak Oktober 2025, harga RAM sudah meningkat lebih empat kali ganda.
Kini menurut laporkan TrendForce, untuk menghasilkan iPhone 18 Pro 256GB – RAM akan menyumbang 34% kos pada Q3 2026 sebelum meningkat ke 42% pada H1 2027. Peningkatan yang mendadak kerana pada Q3 2024, RAM hanya menyumbang 10% kos menghasilkan iPhone 17 Pro. Secara keseluruhan, kos menghasilkan siri iPhone 18 Pro 256GB adalah 38% lebih tinggi berbanding iPhone 17 Pro 256GB tahun lalu.

Bulan lalu, Tim Cook telahpun mengatakan Apple akan mula merasai tekanan kos RAM selepas Q3 2026 walaupun mempunyai bekalan yang mencukupi. Harga jualan siri iPhone 18 dijangka akan meningkat mendadak. Apple sudah melakukan persediaan dengan menawarkan pelan Apple Upgrade dimana peranti boleh disewa menerusi langganan bulanan untuk mengurangkan kejutan membeli peranti yang lebih mahal.
Hakikatnya tahun ini semua peranti dijual pada harga lebih mahal berbanding tahun lalu. Dengan Samsung dan SK Hynix meramalkan krisis RAM akan menjadi semakin runcing tahun depan, harga peranti tahun depan sudah hampir pasti akan menjadi lebih mahal.




