
Hari berganti hari, jerebu yang menyelubungi negara kita masih belum reda sepenuhnya.
Bahkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan hampir mencecah 200, menyebabkan sekolah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam keadaan yang membimbangkan ini, kita perlu menjaga kesihatan diri agar tidak terdedah kepada udara yang tercemar.
Susulan itu, orang ramai disarankan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah. Sekiranya perlu keluar, pemakaian pelitup muka yang bersesuaian amat digalakkan bagi mengurangkan pendedahan kepada partikel halus jerebu.
Namun, apabila bercakap mengenai pelitup muka, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bukan semua jenis pelitup muka memberikan perlindungan yang sama ketika jerebu.
Macam Mana Langit Boleh Bertukar Oren Ketika Jerebu? Ini Yang Perlu Anda Tahu
Jerebu: Kerajaan Lakukan Sebaik Mungkin Berunding Dengan Indonesia - PM
Kenapa tak boleh pakai pelitup muka biasa?
Jangan fikir anda sudah mendapat perlindungan mencukupi apabila memakai pelitup muka biasa atau tiga lapis (3-ply mask) ketika jerebu.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelitup muka biasa hanya mampu menapis 12 peratus daripada partikel halus jerebu.
Selain itu, reka bentuk pelitup muka tersebut yang tidak melekap kemas pada wajah membolehkan udara tercemar memasuki saluran pernafasan.
Jadi, kena guna pelitup muka apa?
Sebaliknya, orang ramai disarankan menggunakan pelitup muka jenis N95 ketika jerebu.
Menurut KKM, pelitup muka N95 mampu menapis hampir 95 peratus partikel daripada udara jerebu.
Pelitup muka itu juga mempunyai reka bentuk yang sesuai dan melekap kemas pada wajah bagi menghalang udara tercemar daripada memasuki saluran pernafasan.

Bagaimanapun, KKM turut memaklumkan bahawa sekiranya N95 tidak dapat diperoleh, pemakaian pelitup muka tiga lapis boleh dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan tambahan yang terhad.
Lindungilah diri anda dan keluarga ketika jerebu, terutama bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.
Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran jika anda mengalami gejala seperti batuk, selesema, atau sesak nafas.






