Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan penghargaan dan rasa terharu terhadap keprihatinan rakan-rakan serta sahabat taulan yang tampil memberikan sokongan kepada keluarganya susulan perkembangan terbaharu membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Foto: The Star
Menurut Rosmah, sokongan itu bukan sahaja diterima daripada kenalan di dalam negara, malah turut datang daripada sahabatnya di luar negara termasuk Brunei, Itali, Singapura dan Kanada.
Katanya, rakan-rakan berkenaan menghubunginya bagi berkongsi kegembiraan terhadap perkembangan terkini yang melibatkan bekas Perdana Menteri itu, selain menyatakan kesediaan untuk memberikan sumbangan.
“Mereka hanya mahu melihat Datuk kembali bersama keluarga. Itu sahaja. Saya tidak pernah menyangka begitu ramai yang masih mengambil berat dan sanggup tampil membantu dengan penuh keikhlasan.
“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada penyelesaian denda berjumlah RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Artikel lain: Rosmah akui keluarga kecewa keputusan pengampunan Najib ditangguh, hanya mampu berdoa
Bagaimanapun, Najib perlu mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya mana-mana syarat tersebut dilanggar, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman penjara dengan serta-merta.
Dalam hantaran sama, Rosmah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan, mencurahkan kasih sayang serta memberikan sokongan kepada keluarganya sepanjang tempoh berkenaan.
“Alhamdulillah, terima kasih sekali lagi atas segala doa, kasih sayang dan keikhlasan kalian,” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook Rosmah Mansor




