'Ramai sangka lahir atas dulang emas'- Aliff Syukri dedah realiti anak pengawal keselamatan dalam filem raya Ya, Abah Saya Security

EntertainmentMovie
12 Mar 2026 • 9:11 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KISAH  hidup yang pernah dilalui kadangkala menjadi sumber inspirasi paling jujur dalam berkarya. 

Bagi usahawan sensasi Aliff Syukri, memori bersama arwah bapanya bukan sekadar kenangan peribadi, sebaliknya menjadi nadi kepada penghasilan sebuah filem pendek istimewa sempena Aidilfitri.

Kisah hidup yang pernah dilalui kadangkala menjadi sumber inspirasi paling jujur dalam berkarya. 

Bagi usahawan sensasi Aliff Syukri, memori bersama arwah bapanya bukan sekadar kenangan peribadi, malah menjadi nadi kepada penghasilan sebuah filem pendek istimewa sempena Aidilfitri.

Menerusi filem pendek berjudul Ya, Abah Saya Security, pengasas jenama D’Herbs itu mengangkat kisah kehidupan yang pernah dilaluinya ketika kecil bersama arwah bapanya, Kamarzaman Kamaludin, yang suatu ketika dahulu bekerja sebagai pengawal keselamatan.

image is not available

Karya tersebut menyelami perjalanan seorang kanak-kanak bernama Syukri yang masih di bangku sekolah rendah. 

Pada usia muda, Syukri berdepan konflik emosi apabila berasa malu dengan pekerjaan bapanya sebagai pengawal keselamatan. 

Namun seiring waktu, dia akhirnya menyedari bahawa pekerjaan itulah yang menjadi sumber rezeki untuk membesarkan mereka sekeluarga.

Filem pendek itu turut dibarisi pelakon berpengalaman seperti Azhan Rani, Mikael Noah, Niezam Zaidi dan Megat Shahrizal yang menghidupkan jalan cerita penuh emosi tersebut.

Menurut Aliff, penghasilan karya itu bukan sekadar projek hiburan sempena musim perayaan, sebaliknya sebuah penghormatan khas buat arwah bapanya yang meninggal dunia pada tahun 2019.

Katanya, filem pendek tersebut dihasilkan dengan niat untuk menyampaikan mesej yang lebih besar kepada masyarakat.

“Saya buat filem pendek ini bukan untuk duit walaupun saya dah laburkan banyak. Ini lebih kepada dedikasi saya kepada arwah ayah.

“Kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa, jangan sesekali malu dengan pekerjaan mereka kerana daripada rezeki itulah kita dibesarkan,” kongsinya.

Dalam masa sama, Aliff turut merakamkan penghargaan kepada pasukan produksi Tangerine Films KL yang berjaya mengadaptasi kisah benar kehidupannya menjadi sebuah karya filem pendek yang menyentuh emosi.

“Terima kasih kepada semua team dan produksi yang berjaya menjadikan kisah hidup saya ini sebuah filem pendek yang benar-benar menyentuh jiwa saya. Saya percaya ia juga akan menyentuh hati penonton,” katanya.

Menginjak usia 40-an, Aliff mengakui dirinya kini lebih matang dalam menilai kehidupan. Baginya, setiap karya yang dihasilkan perlu memberi makna dan impak kepada masyarakat.

“Saya rasa pada usia sekarang, saya perlu buat sesuatu yang memberi kesan baik kepada orang lain,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial miliknya.

image is not available

Dalam masa sama, usahawan itu turut berkongsi rasa ralat yang masih terpendam apabila mengenang detik terakhir bersama bapanya. 

Kesibukan menguruskan perniagaan membuatkan dia tidak sempat meluangkan masa secukupnya dengan insan yang banyak berjasa dalam hidupnya itu.

“Perkara yang paling saya kesalkan ialah ketika arwah masih hidup, saya terlalu sibuk bekerja. Saya tak ‘all out’ meluangkan masa dengan dia. Saya hanya beri dia duit sahaja.

“Itu antara perkara yang sampai sekarang saya rasa ralat,” luahnya jujur.

Lebih menyentuh hati, Aliff turut menceritakan momen terakhir sebelum bapanya menghembuskan nafas terakhir. 

Menurutnya, kira-kira 12 jam sebelum meninggal dunia, arwah bapanya masih sempat memandu dari Kuala Selangor ke rumahnya semata-mata mahu bertemu.

“Arwah pandu kereta hampir dua jam dari Kuala Selangor untuk jumpa saya walaupun keadaan dia ketika itu sudah nazak,” katanya seperti yang dilaporkan OhBulan!.

Pada masa sama, Aliff menjelaskan ramai yang menyangka kejayaan yang dikecapinya hari ini datang daripada kehidupan yang mewah sejak kecil.

“Ramai orang ingat kejayaan saya hari ini sebab lahir atas dulang emas. Hakikatnya saya hanyalah anak kepada seorang pengawal keselamatan. Mereka yang mengikuti kisah hidup saya pasti tahu bagaimana asal-usul keluarga saya,” katanya.

Menurutnya, Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna apabila beliau memilih untuk mengabadikan perjalanan hidupnya bersama arwah bapanya dalam bentuk karya filem pendek.

image is not available

“Bila saya teringat semula layanan saya kepada arwah abah dahulu, saya rasa sangat berdosa.

“Mungkin juga kejayaan yang saya kecapi hari ini datang daripada keberkatan rezeki halal hasil keringat peluh abah yang bekerja keras menyara kami sekeluarga walaupun hanya sebagai pengawal keselamatan,” katanya.

Aliff juga mengakui sebelum ini ramai yang salah faham terhadap perkongsiannya di media sosial apabila ada yang menyangka dia sengaja mencetuskan kontroversi atau memperlekehkan profesion pengawal keselamatan.

Hakikatnya, cerita yang dikongsi itu datang daripada realiti kehidupan yang pernah dilaluinya sendiri.

“Sebelum ini bila saya muat naik di media sosial, ramai kata saya sengaja buat kontroversi dan menghina pengawal keselamatan.

“Tetapi sebenarnya itu adalah kisah kehidupan saya sendiri,” jelasnya.

Kini, dia tidak lagi melihat pekerjaan tersebut dengan rasa malu seperti ketika kecil dahulu. 

Sebaliknya, suami kesayangan Datin Sri Shahida itu berbangga kerana bapanya pernah bekerja keras sebagai pengawal keselamatan demi menyara keluarga.

image is not available

“Saya pernah melalui kisah pahit itu, tetapi hari ini saya bangga kerana mempunyai seorang ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Dulu mungkin saya pandang rendah, tetapi sebenarnya dialah yang menjadikan saya kuat seperti sekarang,” kata ayah kepada enam cahaya mata itu.

Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, Aliff turut mengambil kesempatan mengajak orang ramai menghargai pengorbanan ibu bapa.

“Marilah kita titipkan doa buat ibu bapa yang telah bersengkang mata menjaga dan menyara kita, sama ada mereka masih hidup atau telah pergi meninggalkan kita.

“Sedekahkan Al-Fatihah buat arwah abah saya, Kamarzaman,” katanya.

Melalui Ya, Abah Saya Security yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Mikael Noah, Niezam Zaidi dan Megat Shahrizal,  Aliff berharap mesej tentang menghargai pengorbanan ibu bapa dapat sampai kepada penonton, sekali gus mengingatkan bahawa setiap kejayaan yang dikecapi hari ini pasti ada pengorbanan besar di belakangnya.