
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali melihat ada individu yang dalam kesusahan, pasti ramai yang mempunyai sifat empati serta mahu menghulurkan bantuan walaupun ia kecil.
Namun sebenarnya bantuan diberikan itu memberikan makna sangat besar kepada individu yang dalam kesusahan.
Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan ia bukanlah mengenai bantuan yang diberikan sebaliknya sifat mulia yang ditonjolkan demi memastikan orang lain juga dapat merasai kesenangan.
Pemandu tumpangkan lelaki tempang untuk beli makanan
Baru-baru ini, seorang lelaki turut melakukan perkara sama apabila membantu seorang lelaki dikenali sebagai Jefree untuk ke kedai membeli makanan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh laman Storie di TikTok dan Instagram, awalnya kelihatan pemandu lelaki telah memberhentikan kenderaannya sebaik melihat Jefri yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pada bahagian kaki berjalan dalam hujan seorang diri menggunakan tongkatnya.
Dia kemudian berlari ke arah Jefree dan bertanya sekiranya mempunyai sebarang perkara yang boleh dibantu.
Jefri kemudiannya memaklumkan dia ingin membeli makanan kerana tiada kedai makan berdekatan di kawasan perumahannya.
Alami kecacatan pada kaki disebabkan rumah terbakar dan tak dapat keluar
Malah Jefri memaklumkan hujan yang turun dengan lebat membuatkan dia kotor dan tidak ada orang yang mahu memberikan bantuan dipercayai untuk menumpangkannya membeli makanan.
Jefree juga sempat menceritakan dirinya hidup berseorangan manakala kedua ibu bapa pula sudah meninggal dunia.
Sewaktu disoal apakah yang berlaku dengan kakinya, Jefri memaklumkan ia disebabkan insiden rumah terbakar yang berlaku suatu masa dahulu dan dia tidak dapat keluar dari kediaman tersebut.
Jefri turut meminta tolong pemandu berkenaan untuk membelikan makanan sementara dia menunggu di tepi jalan berkenaan kerana menyifatkan dia kotor dan tidak boleh menaiki kereta bersama.
Namun pemandu tersebut tetap menginginkan Jefree untuk menaiki kereta bersama-sama dengannya untuk membeli makanan.
Hanya makan roti setiap hari
Sebaik mendengar perkara itu, Jefree menuruti permintaan lelaki berkenaan. Dalam perjalanan ke kedai makan kedengaran mereka turut berbual dan Jefree menceritakan mengenai dirinya.
“Kebakaran rumah telah meragut nyawa ibu bapa saya, dan saya sorang-sorang. Saya hanya makan roti setiap hari,” ceritanya.
Selain itu, Jefree juga memaklumkan dia hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan.
Sampai di kedai yang ditujui, pemandu kemudian segera keluar membelikan nasi berlauk dan juga beberapa makanan ringan lain termasuk air untuk Jefree.
Rumah tak ada elektrik kerana tak mampu bayar
Pemandu itu juga turut menghantar Jefree sehingga ke rumah dan dia memaklumkan rumahnya itu tidak mempunyai bekalan elektrik kerana tidak mampu untuk membayarnya.
Bukan hanya itu, di dalam rumah itu juga kelihatan ia kosong tanpa sebarang perabot dan hanya ada tilam serta bantal buat Jefree tidur.
“Tiada bang, sudah dipotong (elektrik). Saya tak mampu bayar,” jelasnya sebelum menikmati makanan yang dibeli.
Sebelum beredar kelihatan pemandu sempat bersalam dan memberikan sedikit sumbangan untuk digunakan oleh Jefree.
Sedang cuba yang terbaik untuk bantu Jefree
Di ruangan komen, Pin Yang turut memuji pemandu berkenaan dan memintanya untuk berkongsi maklumat untuk menyalurkan bantuan.
Pihak Storie dalam masa sama turut memaklumkan mereka sedang mencuba yang terbaik untuk membantu Jefree.

Malah ramai yang turut bersimpati dengan nasib Jefree serta mahu membantunya. Tidak kurang juga ada yang memuji meskipun mengalami kesusahan namun rumahnya kelihatan bersih dan tidak bersepah.
Bahkan ada yang turut mengagumi sikap rendah diri Jefri selain sifatnya yang tidak meminta-minta
Ada juga memberikan cadangan agar bantuan seperti zakat mungkin boleh dihulurkan kepada Jefree.
Menerusi ruangan komen juga, ada yang mendakwa Jefri menetap di Kampung Sungai Bil, Perak. Kami akan menambah informasi sekiranya mendapat maklumat lanjut.
“Rumah dia bersih walaupun kosong. Saya cuma nak tanya zakat sampai tak dekat abang ni?”

“Ulang kali dia cakap ‘kotor lah bang’ Allah. Dia pun segan, risau kotorkan kereta orang. Semoga Allah lapangkan urusan abang ni”

“Allahuakbar tengok video ni rasa sebak dan sedih melihat pakcik ni. Syukur, alhamdullilah masih ada lagi orang yang berhati mulia. Baik hati dan ada rasa belas kasihan memberi pertolongan dekat pakcik ni dan bagi bantuan makanan.”

“Dia miskin, dia sakit, dia kurang upaya. Tapi dia tak kurang dalam sikap bersyukur. Dia tak meminta, dia usaha sendiri selagi boleh. Ya Allah”





