
SEPANG – Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang diadakan hari ini disambut tanpa kehadiran Ketua Pengarahnya,
Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Selain itu, turut tidak kelihatan pada majlis berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selain Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat lanjut berhubung faktor ketidakhadiran Ketua Pengarah AKPS dan Menteri Dalam Negeri pada majlis berkenaan.
Mengikut surat jemputan dikeluarkan, majlis itu akan disempurnakan Menteri Dalam Negeri selain kehadiran Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.
Bagaimanapun, majlis itu telah disempurnakan oleh Dr. Awang Alik.
Program dimulakan dengan dengan ucapan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan AKPS, Ismail Mokhtar disusuli ucapan oleh Dr. Awang Alik.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Shuhaily berdepan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dua anggota polis di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Mahkamah membenarkan Mohd. Shuhaily diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Ulang tahun kedua AKPS tanpa kehadiran Saifuddin, Mohd. Shuhaily appeared first on Kosmo Online.






