Ramssol bekerjasama dengan King Mongkul Institute bangunkan AI, rumusan digital di Thailand

TechnologyStartup
23 Apr 2025 • 3:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ramssol bekerjasama dengan King Mongkul Institute bangunkan AI, rumusan digital di Thailand

image is not available

23/04/2025 - 15:01

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 April – Ramssol Group Bhd menerusi, Geekstart Company Ltd menjalinkan kerjasama bersama King Mongkut's Institute of Technology Ladkrabang (KMITL) untuk bertindak sebagai pusat utama dalam pembangunan rumusan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital bagi sektor kerajaan serta organisasi swasta di Thailand dan peringkat antarabangsa.

Ramssol kini memiliki 51% kepentingan dalam Geekstart.

Perkongsian itu menandakan langkah penting dalam memacu pembangunan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) serta memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri dalam membangunkan teknologi yang praktikal dan inovatif.

KMITL, salah satu universiti terkemuka Thailand dengan kepakarannya dalam penyelidikan dan inovasi AI, kejuruteraan perisian, teknologi digital, dan Industri 4.0.

Universiti itu juga mempunyai jaringan kukuh dengan agensi penyelidikan dan badan kerajaan, menjadikannya pemacu utama dalam pembangunan teknologi negara itu.

Geekstart pula memiliki rekod pencapaian cemerlang dalam pembangunan platform berasaskan AI dan perisian berskala perusahaan, yang menyokong transformasi digital bagi sektor awam dan swasta di Thailand serta pasaran antarabangsa.

Perkongsian strategik itu menyatukan kelebihan akademik KMITL dalam latihan, pembangunan kurikulum, dan penyelidikan AI dengan kepakaran Geekstart dalam pembangunan perisian, latihan model AI, reka bentuk automasi, serta perundingan digital. Keseluruhan Kerjasama itu akan diterajui di bawah jenama "RAMS A.I. Tech", yang bakal menjadi model rujukan bagi kolaborasi akademia-industri berskala global.

Selain itu, perkongsian itu akan memperkukuh pembangunan pengetahuan dan bakat melalui latihan, program pensijilan dan pembangunan kemahiran praktikal untuk pelajar, penyelidik dan profesional industri.

Menerusi pelaksanaan inisiatif digital dan teknologi bersama di sektor awam dan swasta, kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memacu inovasi secara menyeluruh.

Kerjasama itu dijangka membuka peluang perniagaan baharu dengan tawaran rumusan berkualiti tinggi yang sejajar dengan kehendak pasaran di peringkat global. Ia juga mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab serantau bagi AI dan transformasi digital dengan menggalakkan pelaburan tempatan serta mengembangkan inovasi teknologi ke pasaran antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Ramssol, Brian Liew berkata, kerjasama bersama KMITL itu merupakan langkah penting dalam pengembangan strategi Ramssol ke dalam ruang AI dan digital.

"Dengan mengetahui dunia akademik dan industri, kami komited untuk membangunkan penyelesaian berimpak tinggi yang akan membawa perubahan besar kepada landskap perniagaan dan teknologi serantau," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Geekstart, Kitipat Veerachien berkata, inisiatif ini akan menjadi pemangkin utama dalam transformasi perkhidmatan awam di Thailand.

"Geekstart kini bersedia untuk membangunkan sistem maklumat hospital bersepadu berasaskan AI bagi sektor penjagaan kesihatan Tahap 3 di Thailand dengan melibatkan lebih 9,000 hospital di seluruh negara. Projek ini berpotensi menjana pendapatan sehingga THB 1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, sambil memodenkan sektor penjagaan kesihatan negara," katanya.

Perkongsian strategik itu sekali gus menandakan satu langkah penting dalam menggabungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri. Ia dijangka menghasilkan inovasi praktikal dan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat Thailand, selain memperkukuh kedudukan negara itu sebagai pemain utama dalam landskap global AI dan transformasi digital.- DagangNews.com

standard