Samsung Komited Meluaskan Penggunaan Galaxy AI Ke Lebih 400 Juta Peranti Menjelang Akhir 2025

TechnologyDigital
15 Jul 2025 • 12:23 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung meneruskan usaha untuk mengukuhkan kedudukannya dalam bidang teknologi mudah alih dengan menetapkan sasaran baharu. Syarikat itu merancang untuk memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui Galaxy AI kepada lebih 400 juta peranti menjelang akhir tahun ini. Pengumuman ini dibuat semasa Forum Galaxy AI 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

image is not available

Pelancaran Galaxy S24 pada tahun lalu memperkenalkan Galaxy AI kepada lebih 200 juta peranti di seluruh dunia. Perkembangan ini menandakan permulaan penggunaan AI dalam peranti mudah alih. Sejak itu, penggunaan Galaxy AI terus meningkat. Data semasa menunjukkan lebih 70 peratus pengguna Galaxy S25 menggunakan fungsi AI daripada Samsung dan Google sebagai sebahagian daripada aktiviti harian mereka.

image is not available

Antara ciri yang diperkenalkan termasuklah Google Gemini yang menjadi pilihan ramai pengguna dengan peningkatan penggunaan sebanyak tiga kali ganda dalam siri Galaxy S terkini berbanding sebelum ini. Samsung turut berkongsi dapatan semasa hasil kerjasama dengan firma penyelidikan Symmetry Research yang menunjukkan peningkatan penggunaan AI dalam kalangan pengguna. Menurut kajian tersebut:

  • 47 peratus responden menyatakan mereka bergantung kepada AI dalam rutin harian, terutamanya untuk ciri seperti carian berasaskan teknologi AI, pemberitahuan yang disesuaikan dengan keperluan individu dan pembantu suara.

  • 45 peratus responden pula dilaporkan menggunakan arahan suara sekerap mereka menaip ketika menjalankan tugasan di peranti mudah alih.

image is not available

Di sebalik pelbagai kemajuan teknologi, Samsung menekankan komitmennya untuk menyediakan pengalaman AI yang lancar, selamat dan sesuai dengan keperluan individu. Pendekatan ini disesuaikan dengan gaya hidup pengguna moden yang kian bergantung kepada teknologi dalam aktiviti harian.