Rangka manusia dalam guni: Lelaki Rohingya direman kes bunuh, suspek ada rekod jenayah

13 Oct 2026 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rangka manusia dalam guni: Lelaki Rohingya direman kes bunuh, suspek ada rekod jenayah
Lelaki etnik Rohingya (tengah) direman bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia dalam guni.

KANGAR - Seorang lelaki etnik Rohingya direman bagi membantu siasatan berhubung penemuan rangka manusia dalam dua karung guni pada Julai dan Ogos lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu dibenarkan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Nurul Natasha Rizal di Mahkamah Kangar di sini pada Selasa sehingga Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Behor Rotan Pahit, Sungai Berembang, Kuala Perlis pada Isnin.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Oppo Reno8 5G berwarna perak dan biru serta sekeping kad SIM redONE.

Katanya, suspek turut mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Setakat ini, tiada sebarang pengakuan diperoleh. Subjek menyatakan bahawa beliau hanya mengetahui tentang kejadian tersebut melalui kumpulan WhatsApp sahaja.

"Subjek juga merupakan seorang pekerja kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau dan Kota Sarang Semut sejak dua bulan lalu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pada 29 September lalu, polis mengesan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Mohd Ilyas Mohd Islam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada 26 Julai lalu, rangka manusia pertama ditemukan di dalam karung guni yang sudah reput di kebun berhadapan kilang beras di Kampung Behor Mali dan kes pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun, satu lagi karung guni putih berisi sisa tulang manusia ditemukan di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kira-kira 31.1 meter dari lokasi pertama pada 5 Ogos lalu.

Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved