Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan

20 Aug 2026 • 10:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Acara renang terus menjadi antara penyumbang utama pingat untuk Selangor. Eliza Tan Ai Shen mencipta sensasi apabila dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas wanita. Perenang berusia 19 tahun itu mencatat masa 56.78 saat (s) untuk memenangi emas. Eliza sebelum itu memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 57.03s pada pusingan saringan, sekali gus memadam rekod kebangsaan milik Nadia Lim 57.11s

Sukan boling juga membutirkan emas menerusi acara trio wanita yang disumbangkan Qurratu’ Ain Izdihar Mohd Pozi, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan.

Selain itu, kontinjen Selangor turut ceria apabila memenangi pingat emas acara badminton berpasukan wanita selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0. Selangor juga berjaya mempertahankan pingat emas futsal lelaki dengan menewaskan Pulau Pinang 4-1.

Setakat jam 10.30 malam, Selangor kekal mengungguli carta kutipan pingat SUKMA 2026 dengan 42 emas, 42 perak, 30 gangsa . Terengganu di tangga kedua 31 emas, 29 perak, 24 gangsa manakala Wilayah Persekutuan 29 emas 25 perak 22 gangsa.

Eliza atlet pertama pecah rekod kebangsaan dalam SUKMA 2026

Perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen terus mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas dalam acara 100 meter gaya bebas wanita sambil sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan (NR) dan rekod kejohanan (MR) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Semalam, ELiza juga menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negeri selepas menjuarai acara 200 meter gaya bebas wanita.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen meraih pingat emas dalam acara 100 meter gaya bebas wanita pada 20 Ogos 2026. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIASELANGOR

Selangor ungguli 4x100m rampaian campuran

Selangor meraih pingat emas acara 4x100 meter rampaian berganti-ganti campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Atlet berkenaan, Eliza Tan Ai Shen, Shannon Tan Yang-Qing, Cayden Gooi dan Daniel Scott Williams mencatat masa 4:00.35 saat untuk muncul juara dalam acara berkenaan.

Selangor menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 4.20 saat berbanding Pulau Pinang yang meraih pingat perak dengan catatan masa 4:04.55 saat.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Atlet Selangor ElizaTan Ai Shen, Shannon Tan Yang -Qing, Cayden Gooi dan Daniel Scott Williams meraih pingat emas acara4x100 meter rampaian berganti-ganti campuran di Pusat Akuatik Selangor pada 20 Ogos 2026. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Shannon raih emas 200 meter rampaian perseorangan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Perenang Selangor, Shannon Tan Yang-Qing meraih pingat emas dalam acara 200 meter rampaian perseorangan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Shannon mencatat masa 2 minit 21.68 saat untuk menghadiahkan emas buat kontinjen Selangor.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Shannon Tan Yang-Qing turut meraih pingat emas acara 400 meter rampaian perseorangan wanita pada SUKMA 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Selangor menang emas 200 meter kuak lentang lelaki

SHAH ALAM, 20 OGOS: Perenang Selangor, Daniel Scoot Williams meraih pingat emas dalam acara 200 meter gaya kuak lentang lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Daniel mencatat masa 2 minit 7.81 saat untuk menamatkan saingan di tempat pertama dan menghadiahkan emas buat kontinjen Selangor.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Daniel Scoot Williams turut meraih emas emas acara 50 meter gaya lentang lelaki temasya SUKMA Selangor pada 19 Ogos 2026. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Uzlifatil Jannah ungguli 1 meter papan anjal

Atlet terjun Selangor, Uzlifatil Jannah Ashraf meraih pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Atlet berusia 17 tahun itu mengumpul keseluruhan 216.30 mata untuk menamatkan saingan di tempat pertama sekali gus menghadiahkan emas buat kontinjen Selangor.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Atlet acara terjun Selangor, Uzlifatil Jannah Ashraf meraih pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor, Shah Alam pada 20 Ogos 2026. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Selangor pertahankan emas futsal, tewaskan Pulau Pinang 4-1

Selangor mempertahankan pingat emas futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada aksi final di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 21, di sini, malam ini.

Final yang berlangsung dalam suasana cukup hangat itu turut menyaksikan aksi terpaksa dihentikan selepas kira-kira 10 minit permainan susulan isu keselamatan.

Kehadiran luar biasa peminat tempatan, khususnya penyokong Selangor yang membanjiri kompleks berkenaan, menyebabkan jumlah penonton dipercayai melebihi kapasiti ditetapkan.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Selangor mempertahankan pingat emas futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada aksi final di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 21, pada 20 Ogos 2026. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/MEDIA SELANGOR

Trio boling wanita hadiahkan emas

Trio boling wanita Selangor menepati sasaran apabila berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, hari ini.

Emas itu disumbangkan Qurratu’ Ain Izdihar Mohd Pozi, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan.

Trio Selangor mengumpul 3,560 jatuhan pin untuk merangkul emas, manakala pingat perak menjadi milik trio Kedah dengan 3,516 pin.

Trio Sarawak pula membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 3,449 jatuhan pin.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Qurratu' Ain Izdihar Mohd Pozi (kiri) bersama Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan yang meraih pingat emas acara trio boling wanita di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid pada 20 Ogos 2026.

Selangor pertahan emas badminton berpasukan wanita

Pasukan tuan rumah berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara badminton berpasukan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di sini hari ini.

Pemain perseorangan pertama Eng Ler Qi memberikan kemenangan pertama kepada Selangor apabila mengambil masa 33 minit untuk menewaskan Oo Shan Zi 21-14, 21-10.

Clarissa San-Wong Zi Yi kemudian meletakkan Selangor selesa di depan meskipun terpaksa mengharungi pertarungan selama 70 minit sebelum menewaskan gandingan Joinne Lee-Nicole Tan Pei En 27-25, 14-21, 21-16.

Pemain perseorangan kedua dan pendatang baharu berusia 18 tahun Carine Tee Xin Qi melengkapkan kemenangan Selangor selepas mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan Chong Shi Ming 21-14, 21-16.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Selangor mempertahankan pingat emas dalam acara badminton berpasukan wanita SUKMA Selangor 2026 selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 20 Ogos 2026. Foto Majlis Sukan Negeri Selangor

Gandingan Uzlifatil, Muhammad Aeriel raih gangsa 3m papan anjal seirama campuran

Atlet terjun Selangor, Uzlifatil Jannah Ashraf dan Muhammad Aeriel Riezqi Abdullah meraih pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Gandingan dua atlet berusia 14 dan 17 tahun berkenaan mengumpul 216.36 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga.

Atlet tersebut ketinggalan 18.96 mata daripada Sarawak yang menduduki tempat pertama dengan 235.32 mata.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Atlet terjun Uzlifatil Jannah Ashraf dan Muhammad Aeriel Riezqi Abdullah meraih pingat gangsa acara 3 meter papan anjal seirama campuran pada SUKMA Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor pada 20 Ogos 2026. Foto Nadhirah Fattah/MEDIASELANGOR

Selangor menang perak dan gangsa 200 meter rampaian perseorangan lelaki

Perenang Selangor, Aslan Adnan dan Goh Li Hen masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara 200 meter rampaian perseorangan lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, di Pusat Akuatik Selangor hari ini.

Aslan menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 2 minit 9.07 saat, manakala Li Hen mencatat masa 2 minit 9.66 saat.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Perenang Selangor, Aslan Adnan dan Goh Li Hen masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara 200 meter rampaian perseorangan lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, di Pusat Akuatik Selangor pada 20 Ogos 2026. Foto NADHIRAH FATTAH/MEDIA SELANGOR

Muhammad Irfan raih perak, ubat duka memanah Selangor

Muhammad Irfan Hilmi Mohd Kusyairi mengubat duka kem memanah Selangor selepas melakar kejutan dengan menghadiahkan pingat perak menerusi acara recurve perseorangan lelaki di Stadium INSPEN, Bangi, petang tadi.

Pada aksi final, Muhammad Irfan berusaha mempamerkan bidikan terbaik namun belum cukup untuk mengekang kemaraan Evan yang mendahului perlawanan sejak mula.

Walaupun akur dengan keputusan akhir 7-1 kepada Sabah, Muhammad Irfan tetap berpuas hati dapat menyumbang pingat untuk pasukan.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Muhammad Irfan Hilmi Mohd Kusyairi menghadiahkan pingat perak menerusi acara recurve perseorangan lelaki di Stadium INSPEN, Bangi pada 20 Ogos 2026. FOTO WANKOYAN/MEDIASELANGOR

Skuad bola jaring terkandas di suku akhir

Perjalanan skuad bola jaring Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas tipis 41-42 kepada Terengganu di Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.

Aksi sengit menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sepanjang empat suku, dengan perbezaan hanya satu mata memisahkan Selangor dan Terengganu di penghujung perlawanan.

Turun dengan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu, anak buah Puah Pei San mempamerkan aksi yang baik namun pengalaman dilihat menjadi antara faktor yang memisahkan kedua-dua pasukan.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Perjuangan skuad bola jaring Selangor berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas tipis 41-42 kepada Terengganu di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 20 Ogos 2026. Foto MEDIASELANGOR

Skuad petanque triples lelaki dan wanita Selangor terkandas

Kem petanque Selangor berdepan hari kurang memberangsangkan apabila keempat-empat pasukan acara triples lelaki dan wanita gagal melangkah ke peringkat suku akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Arena Petanque Kuala Selangor, hari ini.

Pada saingan peringkat round robin, kedua-dua pasukan wanita Selangor gagal menempah tiket ke pusingan 16 terbaik, manakala hanya satu daripada dua pasukan lelaki berjaya meneruskan cabaran ke pusingan kalah singkir.

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Arena Petanque Kuala Selangor.

Anwar, Amirudin luang masa tonton aksi muay thai

KLANG, 20 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan menyaksikan perlawanan muay thai sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di KSL Esplanade Mall.

Mereka yang diiringi EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyaksikan aksi antara wakil Selangor, Putra Abdullah Mahmoud dan atlet Terengganu, Jashan Al Balamurugeshwaran dalam kategori 60 kilogram (kg).

Image from: Rangkuman SUKMA 2026: Selangor dahului kutipan pingat, Eliza pecah rekod kebangsaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan atlet-atlet Muay Thai sempena SUKMA Selangor 2026 di KSL Esplanade Mall, Klang pada 20 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved