
SHAH ALAM: Selangor terus mengukuhkan penguasaan dalam futsal Sukan Malaysia (SUKMA) apabila mempertahankan pingat emas selepas menundukkan Pulau Pinang 4-1 pada aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, hari ini.
Pulau Pinang terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Amirul Hakimi Admi memecah kebuntuan pada minit ke-19, biarpun Selangor lebih banyak menguasai permainan dan mencipta peluang sepanjang separuh masa pertama.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Amir Ammar Ibrahim menyamakan kedudukan pada minit ke-22 sebelum Selangor kembali meningkatkan tekanan di hadapan penyokong sendiri.
Kecederaan penjaga gol Pulau Pinang, Arif Zabidi yang terpaksa dikeluarkan membuka ruang buat Selangor menghukum lawan apabila Fitri Haqim Faiznizam meledak dua gol pantas pada minit ke-33 dan ke-34.
Pulau Pinang kemudian cuba mengubah rentak permainan menerusi strategi power play, namun percubaan tersebut gagal membendung asakan Selangor yang terus mengambil kesempatan terhadap ruang yang terbuka.
Fitri Haqim sekali lagi muncul pemusnah harapan Pulau Pinang apabila melengkapkan hatrik peribadinya pada minit ke-38 untuk meletakkan Selangor selesa 4-1.
Kemenangan itu membolehkan Selangor mengulangi kejayaan pada SUKMA Sarawak 2024 sekali gus mempertahankan mahkota futsal lelaki untuk dua edisi berturut-turut. – UTUSAN
The post Hatrik Fitri bantu Selangor pertahan emas futsal appeared first on Utusan Malaysia.






