
PETALING JAYA: Kemenangan yang dilakar bintang skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari pada suku akhir Terbuka Mesir di Kaherah, semalam, bakal melonjakkan ranking dunianya ke satu anak tangga iaitu No. 4 dunia.
Anak jati Kedah yang kini menghuni ranking No. 5 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah yang merupakan pemain No. 6 dunia, Fayrouz Aboelkheir 9-11, 4-11, 11-7, 11-8, 11-7 dalam masa 63 minit.
Kejayaannya itu bakal menemukan Sivasangari dengan jaguh No. 2 dunia, Hania El Hammamy juga dari Mesir pada separuh akhir, hari ini.
Bagaimanapun, kemenangan Sivasangari pada suku akhir lebih mencuri tumpuan apabila ranking dunianya bakal melonjak dari No. 5 ke No. 4 dunia, Isnin depan iaitu satu kedudukan terbaik dicapai pemain berusia 27 tahun itu dalam kariernya.
Terbuka Mesir merupakan kejohanan berstatus Diamond menghadiahkan mata ranking yang banyak iaitu 1,240 mata buat pemenang pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya tersebut.
Sivasangari berkata, daripada sudut peribadi, dia bangga dengan perkembangan karier yang dicapainya setakat ini.
“Saya cuba berjuang hingga ke penghujung hari ini (semalam) dan memenangi perlawanan seperti ini untuk meningkatkan kedudukan dalam ranking.
“Dari segi mental, saya hanya cuba untuk terus kuat. Saya rasa Greg (Goultier, jurulatih) sedang membentuk dan memperkukuh aspek itu dalam diri saya,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir, semalam.
Mengulas mengenai aksinya berdepan Fayrouz, Sivasangari menjelaskan, pemain muda Mesir itu seorang pencabar yang sangat berbahaya dan bijak mengatur permainan di gelanggang.
“Namun, saya tahu saya mempunyai ketahanan fizikal untuk memberikan tentangan sengit dan bermain selama mana yang diperlukan di gelanggang, ini bukan perlawanan terbaik saya, tetapi saya gembira kerana berjaya melepasi cabaran ini,” ujarnya. – UTUSAN
The post Ranking Sivasangari naik No. 4 dunia appeared first on Utusan Malaysia.





